My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 9 February 2017

    Pentadbiran Trump Sukar Yakinkan Mahkamah AS


    Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) sukar meyakinkan sebuah mahkamah rayuan kelmarin agar menguatkuasakan semula sekatan perjalanan ke atas tujuh negara berpenduduk majoriti Islam yang ditandata­ngani oleh Presiden Donald Trump. 

    Perkembangan terbaharu itu berlaku empat hari selepas hakim persekutuan, James Robart menggantung perintah eksekutif Trump, mengakibatkan sempadan AS kembali dibuka kepada beribu-ribu pelarian dan pelawat yang sebelum ini di­sekat daripada mema­suki negara itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Perlitaran Kesembilan di San Franciso mempengerusikan perbicaraan selama sejam itu yang diadakan melalui panggilan te­lefon dan disaksikan secara online oleh 130,000 orang, manakala berjuta-juta lagi menontonnya melalui siaran langsung di televisyen. 

    Semasa berhujah, peguam Jabatan Keadilan, August Flentje berkata, la­rangan imigresen itu didorong oleh kebimbangan Trump berhubung isu ke­selamatan negara. Beliau memberitahu bahawa Robart telah melangkaui bidang kuasanya apabila menggantung perintah eksekutif Trump. “Larangan ini berkaitan isu keselamatan yang berada di bawah kuasa Pre­siden AS (Trump),” katanya.

    Menurut Flenje, Trump bertindak demi kepentingan AS dan berlandaskan kuasa seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara apabila menandatangani perintah eksekutif itu pada 27 Januari lalu.

    Perbicaraan kelmarin bertumpu kepada pemansuhan penggantungan tersebut dan bukan bagi memutuskan sama ada perintah eksekutif itu melanggar perlembagaan ataupun sebaliknya. Perkara kedua tersebut berkemungkinan besar diputuskan oleh Mahkamah Agung AS.

    Seorang jurucakap mahkamah rayuan itu berkata, keputusan perbicaraan tersebut akan diketahui lewat minggu ini. Terdahulu, panel tiga hakim tersebut kerap kali kelihatan sangsi dengan hujah peguam Jabatan Keadilan dan pada satu ketika, menyifatkan hujah kerajaan itu sebagai ‘agak abstrak’.

    Ketiga-tiga hakim itu turut menyoal Flentje tentang bukti pembabitan tujuh negara berkenaan dengan keganasan dan sama ada sekatan Trump merupakan diskriminasi agama seperti yang didakwa oleh banyak pihak kerana ha­nya menyasarkan negara Islam .

    Sementara itu, seorang profesor undang-undang Universiti Pittsburgh, Arthur Hellman berkata, beliau terkejut sekiranya panel hakim rayuan itu berpihak kepada kerajaan dalam kes tersebut. “Beliau (Flentje) menghadapi masalah untuk menjawab semua soalan panel hakim dan saya berpendapat jawapannya juga gagal meyakinkan mereka,” kata Hellman.

    Perintah eksekutif Trump melarang kemasukan semua pelarian selama 120 hari dan menyekat pelawat dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen untuk tempoh 90 hari.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pentadbiran Trump Sukar Yakinkan Mahkamah AS Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top