BERITA kematian kanak-kanak akibat lemas ‘ditelan’ air, baik di kolam renang, pantai, sungai, air terjun mahupun tasik sudah cukup banyak dipaparkan di dada-dada akhbar. Lebih merisaukan, ada juga kejadian lemas yang dilaporkan berlaku di rumah membabitkan kematian ketika mandi di dalam tab mandi, besen dan baldi air.
Kematian disebabkan lemas amat membimbangkan kerana secara purata hampir seorang terlibat dalam kes lemas di negara ini dalam sehari. Menurut Jabatan Perangkaan, purata 596 orang mati akibat lemas dalam setahun antara tahun 2009 dan 2013.
Hampir separuh daripada kes lemas melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara lima hingga 14 tahun. Ini menjadikan kematian purata akibat lemas adalah 1.6 orang setiap hari. Hal itu sudah tentu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Sebagai bapa kepada seorang anak kecil, Mohd. Zaid Said, 32, tidak terkecuali daripada berasa khuatir tentang keselamatan anaknya di dalam air. Hal itu menyebabkan dia mengambil langkah awal dengan menghantar anak sulungnya, Dian Humaira, 3, ke sekolah renang Splashtastik bagi memberi pendedahan terhadap asas-asas berenang.
“Sebenarnya saya mahu dia ada kemahiran untuk melakukan sesuatu selain bagi mengalih perhatiannya daripada gajet kepada aktiviti luar yang lebih seronok dan bermanfaat,” katanya. Mula didedahkan dengan aktiviti renang pada usia lapan bulan, Mohd. Zaid bersyukur kerana anak perempuannya itu dapat menyesuaikan diri di dalam air secara semula jadi.
“Alhamdulillah, Dian Humaira tidak menangis atau meragam ketika pertama kali diper kenalkan kepada kolam renang. Lebih membanggakan, dia juga tidak berasa takut berada di dalam air.
“Misalnya, kalau terjatuh dalam air, dia tidak berasa panik selain tahu apa yang diperlukan seperti mencari orang atau tangga dan berenang ke arah objek terdekat itu untuk berpaut padanya,” cerita Mohd. Zaid.
Tahan nafas
Menariknya, di Splashtastik, kanak-kanak didedahkan kepada aktiviti renang seawal usia bayi iaitu pada umur enam bulan hingga mencecah 3 tahun sebelum maju ke tahap lebih tinggi. Pengasasnya, Azmir Khalid, 32, berkata, antara kebaikan apabila kanak-kanak didedahkan kepada air seawal usia bayi ialah kesediaan menghadapi rasa takut.
“Tidak dinafikan orang tua dahulu tidak menggalakkan bayi didedahkan dengan air dengan alasan masih kecil, takut kembung perut dan sebagainya, namun pendedahan bayi kepada air adalah disyorkan seawal mungkin.
“Ini kerana, selain mempunyai kecenderungan untuk mengingati apa sahaja yang diajar, bayi juga secara semula jadi memiliki kebolehan berenang ketika masih berada di dalam rahim ibu.
"Tetapi saya tidak bermaksud apabila bayi didedahkan kepada aktiviti renang, mereka tidak akan lemas kerana mereka masih kecil dan tidak tahu menghadapi situasi panik, cuma risiko itu sekurang-kurangnya dapat dikurangkan” jelasnya ketika ditemui di kelas renang Splashtastik yang terletak di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bercerita tentang sejarah penubuhan Splashtastik, Azmir berkata, semuanya bermula pada awal tahun 2009, selepas dia dan isteri, Nurzieyana Shazmin Abd. Hakim, 32, dikurniakan cahaya mata sulung.
“Saya mahu perkenalkan aktiviti renang kepada anak sejak bayi kerana menyedari kepentingan kemahiran berenang dalam kalangan kanak-kanak, tetapi sayangnya kebanyakan kelas renang ditawarkan untuk budak berumur empat tahun ke atas.
“Kemudian, saya buat kajian dan ajar sendiri anak kami berenang ketika dia berusia lima minggu. Dari situ, ia menarik orang lain untuk melakukan perkara sama kepada anak mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Azmir memberitahu, ketika itu mereka masih tidak bersedia untuk mengajar anak orang lain kerana ilmu renang yang ada berdasarkan penyelidikan sendiri. Sehinggalah pada tahun 2012, dia mula menawarkan kelas renang secara santai bagi memenuhi permintaan pasaran dengan mencipta serta menambah baik modul sedia ada.
Bebas klorin
Berbekalkan persijilan daripada Swim School International (SSI), Splashtastik menawarkan empat modul renang kepada kanak-kanak berbeza mengikut peringkat umur iaitu Swim’4’Babies untuk bayi berusia enam bulan hingga tiga tahun, Swim’4’Tots untuk budak berusia tiga dan empat tahun serta Swim’4’Child bagi kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
Selain tiga modul berkenaan, Splashtastik turut menawarkan modul renang khusus untuk golongan kanak-kanak berkeperluan khas di bawah kelas Swim’4’Specials. “Setiap modul dibahagikan kepada beberapa tahap mengikut keyakinan anak terhadap air selain penguasaan mereka dalam asas-asas renang.
“Pendedahan awal kepada ilmu renang ini antara lain bertujuan mengajar kemahiran berenang selain meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan di dalam air,” katanya. Sementara itu, Nurzieyana Shazmin berkata, bayi akan diajar kemahiran menahan nafas, mengimbangkan badan selain bergerak di dalam air menerusi aktiviti yang menyeronokkan.
“Kami akan menyediakan pelbagai permainan yang terapung dan tenggelam sebagai alat bantu mengajar bagi merangsang minat bayi dan kanak-kanak di dalam air. “Ibu atau bapa yang turun ke dalam kolam bersama anak mereka pasti turut berasa terhibur kerana sesi ini akan diselang-selikan dengan nyanyian dan macam-macam lagi.
“Dari situ, hubungan antara ibu bapa dan anak secara tidak langsung dapat dieratkan dalam suasana yang santai serta menghiburkan,” ceritanya sambil memberitahu setiap sesi latihan akan diikuti secara berkumpulan dengan jumlah maksimum lapan orang bayi dan berlangsung selama 30 hingga 45 minit.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu menambah, bagi memastikan kebersihan air kolam terjamin, Splashtastik menggunakan sistem air masin bebas klorin yang dilaraskan oleh mesin setiap lapan jam sekali. “Air di dalam kolam sedalam 1.2 meter ini ditetapkan suhu pada 32 darjah Celsius supaya tidak terlalu sejuk atau panas.
“Klorin juga tidak digunakan kerana baunya yang kuat tidak baik untuk budak dengan penyakit asma dan berkulit sensitif,” ujarnya. Dalam pada itu, Pakar Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Winston Yong Sin Chuen berkata, ibu bapa boleh membawa bayi mereka berenang seawal usia enam minggu kerana senaman itu boleh menguatkan paru-parunya.
Pun begitu, dia menyarankan ibu bapa untuk membawa bayi mereka berenang hanya selepas imunisasi utama telah dibuat. Ini kerana bayi berisiko ter kena jangkitan penyakit berikutan standard kebersihan, kualiti pengklorinan dan tahap kebersihan di kolam renang mungkin berbeza.
“Ada kes bayi terkena cirit-birit selepas berenang. Ini mungkin kerana mereka tertelan air kolam berklorin yang boleh menyebabkan hakisan gastrik dan keradangan usus sekali gus mengakibatkan cirit-birit,” jelasnya.
Winston turut menyatakan bahawa kolam yang sedikit bergaram mengandungi klorin dalam kepekatan yang lebih rendah dan mungkin kurang merengsakan buat bayi berkulit sensitif. “Bayi jangan terus diselam masuk ke dalam air sebaliknya pastikan kepala mereka sentiasa berada di atas paras air sepanjang masa bagi mengelakkan tertelan air kolam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment