Logan dikenali sebagai seorang yang ganas, tiada belas ihsan dan berkuasa. Ia boleh dikatakan sebagai filem adiwira yang menekankan perkembangan karakter dengan baik. Namun, ia jauh lebih baik berbanding filem X-Men sebelum ini terutama di segi percaturan ‘plot twist’ yang dipaparkan di babak-babak akhir.
Hugh Jackman diberi keadilan saksama untuk menamatkan watak legenda Wolverine dalam filem ini dan meninggalkan kesan mendalam kepada peminat yang sudah 17 tahun mengikuti perkembangan pelakon itu sejak muncul dengan watak itu pada 2000 melalui filem X-Men.
Pengkisahan Wolverine terakhir ini berlaku pada masa depan sekitar 2029, di mana golongan mutan mula berkurangan. Mereka sama ada diburu atau dibunuh. Malah kuasa Logan yang boleh sembuh sendiri sebelum ini, tidak lagi sehebat dulu.
Dia digambarkan sebagai tua, selekeh dan kini terpaksa menjaga Professor X (lakonan Patrick
Stewart) di satu lokasi rahsia di sempadan Mexico dengan bantuan Caliban (Stephen Merchant). Tapi persembunyian mereka diganggu apabila pasukan jahat mula memburu mereka kerana mahu mencari seorang kanak-kanak perempuan.
Apa cuba dilakukan pembikin filem dengan menjadikan filem ini kategori PG18 juga sesuai kerana perwatakan dan aksi Wolverine ternyata luar biasa. Babak ngeri dan kejam terlalu grafik dan terdedah, sekali gus tidak wajar jadi tontonan kanak-kanak.
Dari situ, penonton terutama peminatnya sudah dapat mengagak ‘kemusnahan’ akan dilakukan Wolverine apabila dia benar-benar marah. Malah premis filem yang terletak di sempadan negara menjadikan filem ini bermain dengan tona dan palet warna yang sesuai dengan subjektif filem.
Namun, babak-babak terakhir filem memberi suasana ‘terang’, sebagai asas kepada pertembungan berdarah yang dahsyat. Di segi lakon layar juga padu untuk filem adiwira. Ia benar-benar menyelami secara mendalam setiap karakter, yakni betapa mereka juga mempunyai sisi lemah dan mahu hidup tanpa diganggu.
Penonton pasti akan terkesan dengan watak Xavier dan Logan, hal yang tidak pernah dilihat dalam filem X-Men sebelum ini. Hubungan mereka persis bapa dan anak kerana adanya elemen kasih sayang penuh ketegasan. Begitu juga hubungan antara Logan dengan X-23, kanak-kanak istimewa yang memiliki kuasa seperti Wolverine.
Lakonan Dafne Keen sebagai X-23 sangat menakjubkan. Dia berjaya memberi tenaga dalam lakonan, sekali gus mampu menjadi pelakon aksi baik pada masa depan. Rumusannya, Logan adalah filem yang memberi kepuasan aksi pada tahap maksimum dan masa sama pengembaraan emosi yang tiada kompromi.
INFO FILEM: Logan
ARAHAN: James Mangold
PELAKON: Hugh Jackman, Patrick Stewart, Richard E. Grant, Boyd Holbrook, Stephen Merchant, Dafne Keen
GENRE: Aksi pengembaraan
TAYANGAN: 2 Mac 2017
0 comments:
Post a Comment