Manchester United mensia-siakan peluang untuk mengekori rapat kelompok empat teratas Liga Perdana England apabila sekadar seri 1-1 menentang Bournemouth di Old Trafford malam tadi.
Dalam aksi itu, United tampil sebagai pasukan pilihan, mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain pertahanan, Marcos Rojo pada minit ke-23 selepas menampan bola rembatan Antonio Valencia.
Bagaimanapun, skuad kendalian Jose Mourinho dikejutkan dengan gol penyamaan pasukan pelawat hasil sepakan penalti Joshua King pada minit ke-40 selepas Phil Jones mengasari pemain Bournemouth dalam kotak penalti.
The Cherries terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Andrew Surman diarahkan keluar padang pada masa kecederaan separuh masa pertama. Bersambung pada babak kedua, United hampir berjaya merangkul tiga mata selepas pengadil memberikan sepakan penalti gara-gara bola terkena tangan pemain pertahanan Bournemouth, Adam Smith.
Bagaimanapun, Zlatan Ibrahimovic gagal menjelmakan kemenangan buat The Red Devils apabila penjaga gol Bournemouth, Artur Boruc berjaya menyelamatkan sepakan penalti bintang Sweden tersebut pada minit ke-76.
United mempamerkan kebangkitan berbaki 10 minit terakhir tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan apabila Bournemouth memilih untuk ‘berkampung’ di pintu gol sendiri. Keputusan itu sekali gus menyaksikan United kekal di tangga keenam Liga Perdana England dengan mengutip 49 mata tetapi masih memiliki baki satu perlawanan belum beraksi.
0 comments:
Post a Comment