My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 4 March 2017

    Kayanya Orang Arab Saudi



    “Arab Saudi menjana 1 bilion dolar sehari, okey. Mereka menjana 1 bilion dolar sehari.” Itu ungkapan popular menggambarkan kekayaan Arab Saudi yang diucapkan hartawan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tatkala bicarawara bersama stesen televisyen NBC dua tahun lalu. 

    Trump yang kini berjawatan Presiden AS mengucapkannya secara berulang. Berkait kekayaan luar biasa negara itu juga, baru-baru ini gambar 80 helang menaiki pesawat penumpang menjadi tular seluruh dunia. Semuanya dek penangan kekayaan seorang putera Arab Saudi yang membawa helang-helang miliknya menaiki pesawat.

    Arab Saudi ialah negara kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan Islam. Ia dianugerahkan kekayaan berlimpah ruah bahkan diramal berkedudukan ke-6 negara paling kaya pada tahun 2050 berasaskan kajian pada tahun 2015. Sinonim dengan minyak, negara berpaksi undang-undang syariah itu merupakan pengeksport petroleum pertama dunia.

    Boleh dikatakan, 80 peratus ekonomi mereka adalah bergantung pada minyak. Negara berkerajaan monarki mutlak itu memiliki 268 bilion tong minyak yang masih tersimpan dalam buminya. Bahkan, telaga minyak Ghawar mereka yang terbesar di dunia dikatakan masih mempunyai simpanan sebanyak 75 bilion tong minyak yang mampu mengisi 4,770,897 kolam renang Olimpik.

    Syarikat minyak nasionalnya, Saudi Aramco baru-baru ini didedahkan oleh Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman yang mengetuai Saudi Aramco sebagai bernilai AS$2 trilion dolar (RM8.9 trilion).

    Jika benar dakwaan putera kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu, bermakna nilai syarikat itu memadai untuk membeli empat buah syarikat perdagangan terbesar dunia iaitu Apple, Alphabet, Microsoft dan Berkshire Hathaway. Bagi pakar ekonomi antarabangsa, Robert Powell, nilai itu agak munasabah bagi Saudi Aramco.

    “AS$2 trilion memang nilai yang menakjubkan namun syarikat Exxon pun mampu mempunyai nilai antara AS$360 bilion (RM1.6 trilion) walhal mereka langsung tidak mempunyai simpanan minyak sebesar atau berkos rendah seperti yang dinikmati Arab Saudi,” katanya seperti yang disiarkan The Telegraph.

    Pencakar langit

    Berpopulasi 29 juta orang, Arab Saudi memiliki empat buah kota besar iaitu ibu negaranya, Riyadh diikuti Jeddah, Mekah dan Madinah.

    Raja Salman digelar sebagai penjaga dua masjid suci iaitu Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah. Raja Salman menjadi topik utama antarabangsa kala ini apabila melangsungkan jelajah ke Asia selama sebulan bagi memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan negara itu. 

    Selain minyak sebagai hasil mahsul utama, Saudi Gazette melaporkan, perolehan tahunan negara itu untuk ibadat haji sahaja ialah AS$5 bilion hingga AS$6 bilion dolar (RM22 bilion hingga RM26 bilion) bergantung kepada bilangan jemaah. Minyak ditemui dari dalam bumi mereka pada tahun 1938.

    Penemuan minyak yang menjadi khazanah berharga negara itu telah merubah wajahnya. Dari sebuah negara yang pernah dianggap miskin dan berpenduduk nomad di tanah gersang, ia menjadi sebuah negara yang subur dengan pembangunan.

    Kini, Arab Saudi mempunyai banyak bangunan pencakar langit ekstravaganza. Menara Kingdom Centre berketinggian 302 meter tidak ubah seperti gergasi perkasa yang terpasak di metropolis Riyadh. Bangunan tertinggi negara itu, menara jam di Masjidilharam, Mekah yang dibina pada 2012 merupakan menara berjam terbesar di dunia dan ketiga tertinggi di dunia pada ketinggian 601 meter. 

    Kini, Arab Saudi sedang membina sebuah lagi bangunan berbilion dolar iaitu Menara Jeddah yang bakal menyaingi ketinggian bangunan Burj Khalifa, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Jika siap menara itu pada tahun 2020, ia bakal menjadi menara tertinggi di dunia pada ketinggian 1 kilometer ke udara.

    Duta Arab Saudi ke AS, Abdullah Al-Saud berpandangan, transformasi kota-kota di negaranya mengagumkan.

    “Dahulu, ia cumalah pekan-pekan kecil di tengah-tengah hamparan padang pasir yang amat luas, kini ia dipenuhi bangunan-bangunan pencakar langit, lebuh raya super, lapangan-lapangan terbang moden, universiti-universiti antarabangsa, hospital-hospital canggih dan pusat-pusat beli-belah,” katanya kepada USA Today.

    Kedua terkaya

    Keluarga diraja Arab Saudi atau digelar The House of Saud disenaraikan sebagai keluarga kedua terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai AS$1.4 trilion (RM6.2 trilion) di belakang keluarga The Rothschild Family, Jerman seperti yang dikeluarkan Investopedia tahun lalu.

    Raja Salman sendiri seorang yang kaya-raya apabila beliau dilaporkan CBS News mempunyai sebuah kapal layar sebesar padang bola, istana persendirian Erga Palace di Riyadh dan 100 pengawal peribadi. Bahkan, Jakarta Post melaporkan lawatannya ke Asia yang sedang berlangsung pada masa ini turut membawa 500 tan bagasi termasuk dua buah limosin dan dua buah elevator elektrik.

    Tahun lalu, hartawan-hartawan Arab Saudi mengekalkan keunggulannya dalam senarai Forbes bangsa Arab terkaya dengan nilai kekayaan keseluruhan AS$34.6 bilion (RM154 bilion). Manusia terkaya Arab Saudi ialah bilionair, Alwaleed Talal yang juga kerabat diraja.

    Beliaulah individu yang berani menyaman Forbes kerana mendakwa telah merendahtaksirkan kekayaannya pada tahun 2013. Beliau pernah berhabis sehingga AS$500 juta (RM2.2 trilion) untuk memiliki sebuah pesawat jumbo persendirian Airbus 380 dan menghiasi ‘istana terbangnya’ itu namun menjualnya kepada seorang kaya yang lain sebelum sempat menerbangkannya.

    Beliau masih memiliki pesawat Boeing 747. Beliau memiliki kapal layar ketiga terbesar di dunia, kereta-kereta mewah bertatahkan berlian dan istana 420 bilik di Riyadh. Arab News berasaskan satu kajian melaporkan pada tahun 2015, Arab Saudi mempunyai populasi individu ultra kaya terbanyak di Asia Barat iaitu seramai 1,495 orang.

    Ultra kaya ditakrifkan sebagai mempunyai kekayaan aset bernilai AS$30 juta (RM133 juta) ke atas. Rakyat Arab Saudi juga mempunyai kuasa berbelanja yang amat besar. Daily Mail UK melaporkan pelancong-pelancong Arab Saudi adalah pembeli terbesar dunia apabila menghabiskan keseluruhan 14 bilion paun (RM77 bilion) dalam percutian mereka di luar negara setiap tahun.

    Percutian

    Dilaporkan, 4.5 juta pelancong Arab Saudi bercuti sekurang-sekurangnya sekali setiap tahun dan mereka berhabis enam kali ganda berbanding pelancong-pelancong Barat. Setiap pelancong Arab Saudi dilaporkan berbelanja hampir 4,500 paun (RM24,000) untuk sekali percutian seluruh dunia.

    Mereka mengatasi kemampuan pelancong Australia dan China. Tahun lalu, London digemparkan dengan kehadiran seorang bilionair muda Arab Saudi, Turki Abdullah yang bercuti dengan membawa kereta mewah Bentley, Lamborghini dan Rolls Royce emas.

    Penduduk London terpana dengan kemewahan billionair itu yang turut memuatkan gambar citah peliharaannya duduk di dalam kereta. Sebuah kajian ekonomi mendapati, wanita Arab Saudi lebih banyak berhabis untuk kosmetik dan barangan kecantikan berbanding wanita Barat.

    Kajian pada tahun 2016 itu mendapati, amaun kosmetik import ke Arab Saudi melebihi $2.3 bilion riyal (RM2.7 bilion). Berat barangan kosmetik yang diimport ke Arab Saudi ialah lebih kurang 44.6 juta kilogram.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kayanya Orang Arab Saudi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top