Kemunculan pertama Snap, syarikat induk kepada platform media sosial dan gambar Snapchat di bursa Wall Street menggamit para pelabur di New York kelmarin.
Saham Snapchat ditutup pada harga AS$24.28 (RM108) seunit di Bursa Saham New York, kenaikan 44 peratus berbanding harga penyenaraiannya ketika pelabur-pelabur merebut peluang menjadi antara yang pertama memiliki tawaran syarikat teknologi itu pada tahun ini.
Harga saham AS$24 seunit itu menjadikan Snap kini bernilai kira-kira AS$27.8 bilion (RM123 bilion), demikian menurut Bloomberg. Snapchat menjual sebanyak 200 juta saham menerusi tawaran awam pertamanya pada harga AS$17 (RM75) seunit dengan tawaran keseluruhan berjumlah AS$3.4 bilion (RM15 bilion).
Penampilan sulung Snapchat di Wall Street mampu membuatkan pengasas Snap, Evan Spiegel, 26, dan Bobby Murphy, 28, tersenyum lebar ketika mereka berada di Bursa Saham New York.
Penyenaraian awam Snapchat menyebabkan kekayaan setiap usahawan teknologi itu meningkat kepada AS$5 bilion (RM22 bilion), lapor Bloomberg. Snapchat merupakan aplikasi hangat dalam kalangan golongan belia dan remaja. Ia berbeza dengan platform sosial lain kerana mesej dan gambar yang dihantar akan hilang selepas beberapa saat.
0 comments:
Post a Comment