My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 4 March 2017

    Fernando Torres Nyaris Maut


    Kecederaan kepala yang dialami Fernando Torres mengejutkan rakan sepasukannya di Atletico Madrid yang tergamam melihat bekas bintang Liverpool itu terpaksa diusung keluar menjelang hujung permainan yang menyaksikan pasukannya seri 1-1 dengan Deportivo La Coruna. 

    Kenyataan yang dikeluarkan Atletico menyebut Torres, 32, cedera di kepala dan terpaksa dirawat di sebuah hospital di Coruna. Penyerang itu berlaga ketika cuba merebut bola sebelum terjatuh dengan kepalanya terhentak ke padang.

    “Kami sangat bimbang dengan insiden yang menimpanya. Saya terdengar bunyi bising di bangku simpanan, saya tidak pasti sama ada kecederaan itu berlaku di kawasan lehernya tetapi dia merasa sangat tidak selesa. Inilah perkara menakutkan yang boleh berlaku di dalam bola sepak,” kata jurulatih Diego Simeone.

    “Kami mengharapkan yang terbaik buat Fernando, ia adalah situasi yang sangat menyedihkan buat Deportivo dan pemain Atletico.” Torres masuk di babak kedua ketika menentang Deportivo dan ia adalah penampilan ke-100 bersama Atletico sejak kembali ke kelab lamanya itu pada Januari 2015.

    Dia yang tidak bergerak sejurus terjatuh, mengakibatkan Stadium Riazor tergamam dan terdiam seketika. Torres sangat disenangi oleh peminat Atletico kerana sumbangannya terhadap kelab yang diminatinya sejak kecil itu.

    Namanya juga cukup harum terutama selepas menjaringkan gol kemenangan buat Sepanyol di final Kejohanan Eropah 2008 ketika menentang Jerman. “Ia sesuatu yang tidak mahu kita lihat dan ia bukan sering dapat disaksikan. Justeru, kami semua terkejut,” kata pertahanan Atletico Filipe Luis. 

    “Perkara paling penting ialah dia akan pulih semula. Torres bukan saja sangat bermakna buat kelab dan pasukan tetapi dia juga adalah antara individu paling baik yang pernah saya kenali.” Antoine Griezmann menambah:

    “Bilik persalinan kami senyap sunyi dan tidak ada sesiapa yang mahu berbual. Semua pemain kelihatan bimbang kerana apa yang berlaku ke atas Torres, tidak siapa yang mahu membicarakan soal keputusan perlawanan.” Griezmann menyamakan kedudukan buat Atletico di minit ke-68 selepas Florin Andone menjaringkan gol pendahuluan Deportivo di minit ke-13.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Fernando Torres Nyaris Maut Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top