Quick Ride Sdn Bhd, syarikat kerjasama antara Cartrade Group dan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) menawarkan kenderaan sewa bagi digunakan untuk perkhidmatan Uber. Kenderaan yang ditawarkan adalah Proton Saga dan Proton Persona dengan sewa harian masing-masing pada harga RM45 dan RM55.
Ketua Pegawai Eksekutif Quick Ride, Mohamed Fahmi Ilyas berkata, konsep berkenaan diperkenalkan bagi membolehkan lebih ramai pemandu mendapatkan kenderaan baru untuk digunakan dalam perkhidmatan Uber. “Melalui konsep ini, mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian dan kami akan meneliti maklumat berkaitan pemohon.
“Sekiranya tidak ada sebarang masalah, mereka akan mendapat kenderaan dalam tempoh lima hari,” katanya selepas pelancaran, semalam.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira 60 peratus permohonan yang diterima membabitkan graduan yang baru tamat pengajian, manakala selebihnya membabitkan mereka yang kehilangan pekerjaan atau sudah menamatkan perkhidmatan.
“Kami akan melihat rekod kewangan pemohon juga bagi memastikan mereka mampu membayar kadar sewa yang ditetapkan ini. Kebanyakan graduan yang memohon dan tidak mempunyai rekod kredit perlu mendapatkan jaminan sokongan daripada ibu atau bapa mereka,” katanya.
Mohamed Fahmi berkata, antara kelebihan menggunakan perkhidmatan berkenaan, pemandu tidak perlu bimbang mengenai kos insurans dan cukai jalan kerana ia akan ditanggung pihaknya.
“Pemandu hanya perlu memikirkan kos petrol dan penjagaan tayar saja kerana kos penyelenggaraan kenderaan akan ditanggung oleh syarikat. Malah, mereka juga berpeluang mendapatkan kenderaan baru dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
0 comments:
Post a Comment