My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 8 January 2017

    Polemik Graduan IT


    Pernah satu ketika dulu, heboh diperkatakan graduan dalam bidang teknologi maklumat (IT) antara penyumbang utama siswazah menganggur di negara ini. Pengangguran itu rentetan jumlah permintaan mendadak pelajar untuk memasuki jurusan IT selain penawaran jurusan berkenaan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) yang melihat potensi industri terbabit mampu dikomersialkan dengan pantas. 

    Bagaimanapun, apabila isu graduan menganggur menjadi polemik dengan jurusan berkenaan dilihat antara sebagai penyumbang terbesar kadar pengangguran, ramai pihak mula gusar dan mempersoalkan sejauh mana IT mampu menjamin peluang kerjaya.

    Malah ada beranggapan IT bukan lagi menjadi bidang ‘panas’ seperti 10 tahun lalu biarpun perkembangan pelbagai bidang industri dunia pada hari ini masih meletakkan pergantungan utama padanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University & Colleges Tim Bulow berkata, tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana IT antara bidang yang mempunyai pasaran kerjaya terbesar di peringkat global. Menurutnya, mengaitkan isu pengangguran dengan bidang itu juga dilihat sebagai tidak adil kerana masih banyak lagi bidang kerjaya yang turut menghadapi masalah serupa.

    “Dalam isu ini (pengangguran), ia sebenarnya adalah masalah global yang dihadapi semua pihak dan bukan disebabkan bidang IT semata-mata. Kita tidak boleh menolak hakikat, mana-mana bidang pun ada masalahnya tersendiri dan itu normal.

    “Bagaimanapun, jangan menafikan bidang ini antara yang sangat penting dan menjadi peneraju dalam kepelbagaian sistem sedia ada dunia hari ini,” katanya. Beliau berkata, IT adalah satu bidang kompleks yang berkembang begitu pantas seiring kewujudan pelbagai kecanggihan dicipta pada hari ini.

    “Kecanggihan yang dicipta itu menjadikan apa jua ilmu berkaitan IT tidak boleh berada pada satu takuk dalam tempoh lama. “Inilah juga yang perlu difahami masyarakat terutama mereka yang mengambil jurusan ini di IPT.

    “Maksudnya, sekelip mata IT boleh berubah dan kemungkinan jurusan yang diikuti selama tiga atau empat tahun di IPT sudah tidak relevan apabila mereka bergraduasi,” katanya menambah IT tidak menunggu begitu lama untuk mengalami pembaharuan semasa.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan apa dipelajari di IPT menjadi asas kepada penerokaan ilmu IT dengan lebih luas dan menjadi tanggungjawab pelajar untuk memantapkannya “Seperti diketahui, ilmu IT ada pelbagai cabang dan sentiasa berkembang dengan sekelip mata.

    “Apa dipelajari di IPT bukan satu yang sia-sia kerana ia mempersiapkan pelajar dengan asas IT sebelum meneroka dengan lebih jauh melalui pengalaman dan pengetahuan semasa. “Jangan berpandangan skeptikal pada jurusan ini kerana kepentingannya sangat besar dan menjadi peneraju dalam melahirkan perkembangan IT masa akan datang,” katanya.

    Usaha Malaysia dalam membangunkan pusat IT serantau di beberapa lokasi seluruh negara turut mendorong permintaan tinggi bagi jawatan penting terutama dalam bidang data besar (big data), perkhidmatan awan (cloud services) dan pengkomputeran sosial (social computing).

    Satu tinjauan dijalankan Malaysian Digital Economy Corporation (MDeC) mendapati negara memerlukan lebih ramai golongan profesional bagi mengekalkan momentum daya saing global. Keruncingan masalah itu semakin ketara apabila negara ini meletakkan wawasan memiliki 2,000 saintis data dan 16,000 profesional data menjelang 2020.

    Namun, hanya 300 saintis data direkodkan setakat ini dan mereka terdiri daripada warga tempatan serta luar negara. Beliau berkata, menyedari keperluan itu, INTI turut mengambil inisiatif melancarkan program baru diberi nama IBM ICE, baru-baru ini.

    Kerjasama itu, katanya dengan mengambil kira potensi generasi muda untuk menguasai bidang berkenaan selain bagi memperkembangkan jalinan kerjasama bersama industri. “Ia juga selari dengan keperluan industri dan visi IBM yang menjadi antara peneraju terkemuka dalam bidang IT dunia.

    “Ini juga sebagai satu langkah dalam menangani permasalahan kekurangan bakat IT yang dihadapi negara untuk jangka panjang selain mengelakkan pergantungan pada tenaga profesional luar,” katanya.

    Pengarah Urusan IBM Malaysia Chong Chye Neo berkata, pelajar perlu diperkasakan dengan pengetahuan terkini dan hala tuju industri supaya dapat memanfaatkan pengetahuan dan menjadi penyumbang aktif dalam persekitaran dinamik.

    “Misi IBM ICE bukan sekadar melahirkan graduan yang relevan bagi industri tapi juga untuk melengkapkan generasi warga profesional IT masa hadapan dengan akademik. Ini selari visi IBM untuk industri IT supaya pelajar berupaya memacu masa depan dalam bidang ini dan menjadi tenaga kerja berwibawa,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Polemik Graduan IT Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top