Walaupun drama bersiri yang popular ketika ini menerusi saluran tvN, Goblin dianggap pencetus populariti Gong Yoo selepas filem Train To Busan, sukar untuk ketepikan lakonan ‘comel’ tiga watak lain terutama The Grim Reaper lakonan Lee Dong Wook yang turut menjadi tarikan.
Di samping itu, ramai tidak tahu sebenarnya penulis skrip, Kim Eun Sook pernah menolak Dong Wook menjadi sebahagian daripada pelakon Goblin. Laman Soompi melaporkan, pelakon Korea Selatan itu begitu terdesak mahukan watak Grim Reaper tapi ditolak Kim Eun Sook atas alasan Dong Wook tidak sesuai dengan perwatakan digambarkannya.
Sebagai penonton, pasti kita sendiri tidak tahu siapa lagi yang layak membawa watak itu tetapi begitulah kehendak penulis skrip walaupun agensi mewakili Dong Wook, King Kong Entertainment sudah cuba memujuknya. Namun demikian Dong Wook tidak mahu menyerah dan terus ‘berjuang’ untuk mendapatkan watak itu dan akhirnya, selepas beberapa kali memujuk rayu, watak itu menjadi miliknya.
Difahamkan, agensinya berjaya meyakinkan Kim Eun Sook untuk bertemu dengan pelakon drama My Girl itu dan berbincang secara berdepan. “Itulah peluang yang Dong Wook nantikan. Dia berjaya meyakinkan Eun Sook bahawa dia pilihan terbaik untuk watak Grim Reaper.
“Disebabkan tiada pilihan pelakon lain, watak itu akhirnya diserahkan kepada Dong Wook,” kata wakil agensi. Laporan Soompi juga berkata, selepas mendapat watak itu Dong Wook tidak membuang masa lalu terus mengkaji watak Grim Reaper. Dia juga mencipta versi unik Grim Reaper seperti yang ditonton dan disukai peminat drama bersiri Goblin.
Hubungan ‘bromance’ dengan watak Goblin lakonan Gong Yoo dan sikap peliknya dengan kekasih, Sunny berjaya membuatkan drama itu lebih menarik. Tanpa selindung, ramai beranggapan watak itu juga kunci kejayaan drama bersiri itu.
Bagi yang mengikuti drama itu sehingga episod 10, penonton mula mengenali identiti watak Grim Reaper. Walaupun tiada isyarat jelas, Grim seolah roh daripada raja purba Wang Yeo of Goryeo yang memerintahkan Kim Shin (Gong Yoo) dihukum bunuh. Selain kisah menarik Dong Wook, drama Goblin juga berjaya menarik peminat fesyen dek pakaian yang sering dipakai dua watak utamanya itu.
Dalam drama, Dong Wook dan Gong Yoo menonjolkan pelbagai gaya daripada pakaian kasual sehinggalah sut bisnes. Pelakon Coffee Prince, Gong Yoo sudah menjadi pencetus fesyen melalui kot besar (oversize coat) yang sering dipakainya dalam episod Goblin.
Salah satu kot yang dipakai dalam episod ketiga Goblin mendapat perhatian peminat fesyen sehingga ada yang sanggup mencarinya walaupun berharga RM14,800 (AS$3,310) sepasang. Kot itu pernah digayakan di pentas peragaan untuk keluaran koleksi musim luruh Lanvin-Paris 2016 lalu.
Ada juga kot besar dipakai dalam Goblin daripada koleksi terbaharu beberapa jenama fesyen popular antaranya Givenchy, Burberry dan Tom Ford. Difahamkan, ada antara rekaan fesyen dipakai pelakon dalam Goblin belum lagi dilancarkan di Korea Selatan. Dong Wook pula yang sering tampil dengan sut hitam turut menarik perhatian ramai label fesyen. Dia mendapat tajaan pelbagai jenama pakaian.
0 comments:
Post a Comment