Penyalahgunaan medium internet di Malaysia kini semakin membimbangkan apabila laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadi medan penyebaran berita-berita palsu serta fitnah bagi mengaut keuntungan yang lumayan.
Gerakan yang menyebarkan maklumat palsu itu didalangi oleh golongan anonymous (orang tidak dikenali) bagi memperoleh pendapatan sehingga mencecah lebih RM10,000 sebulan. Seorang pemuda yang pernah aktif sebagai anonymous dan hanya mahu dikenali sebagai Zarif berkata, modus operandi golongan itu adalah menjadi penyebar berita palsu hingga memecahbelahkan masyarakat.
“Golongan ini sebenarnya anonymous kelas kedua kerana aktiviti mereka hanya memecahbelahkan masyarakat dan negara serta menjana keuntungan melalui penyebaran berita palsu dalam media sosial,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Zarif berkata, berita viral dan isu sensitif itu akan dimuat naik semula ke media sosial pengguna bagi menarik lebih ramai pengikut kerana mereka mengetahui rakyat Malaysia gemarkan bahan bacaan sensasi dan menarik.
“Apabila sudah ramai pengikut dalam media sosial, pengguna lain mula menawarkan perkhidmatan iklan. Kadangkala satu posting dalam media sosial mampu menarik iklan yang boleh mencecah bayaran RM1,000 mengikut populariti dan jumlah pengikut mereka.
“Jika posting yang dimuat naik itu mempunyai pautan ke laman web atau blog, mereka juga akan memperoleh bayaran daripada pihak Google berdasarkan jumlah trafik yang mengunjungi laman web itu.
“Biasanya mereka ini perlu menjadi public figure (individu terkenal) dahulu yang mendapat ramai pengikut dalam internet. Mereka akan menggunakan nama-nama yang terkenal seperti Tok Bomoh 1Malaysia atau Tok Adi Tanah Kubur.
“Golongan ini hanya mementingkan keuntungan dan tidak kisah jika tindakan mereka boleh memalukan atau menjatuhkan maruah orang lain walaupun cerita yang disebar tidak benar dan mempunyai unsur fitnah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment