Persembahan Lady Gaga di Super Bowl 51 yang berkonsepkan akrobatik terus menjadi bualan hangat. Ramai menyifatkan aksinya cukup berani dan akan dikenang lama. Tidak ketinggalan, aksi itu turut dibandingkan dengan persembahan Pink pada Grammy Awards 2010.
Kebanyakan komen melagakan-lagakan dua penyanyi terkenal itu, malah ada mendakwa penyanyi berusia 37 tahun itu pasti rasa tercabar. Masakan tidak, bertahun-tahun aksi hebat Pink mendapat pujian dan tiba-tiba perhatian yang diraih beralih kepada Gaga.
Enggan dirinya terus dilaga-lagakan dengan Gaga, semalam penyanyi Just Give Me A Reason itu memuji pesembahan rakannya itu di akaun Instagram miliknya. “Mari lupakan perkara sebelum ia bertukar menjadi perkara tidak baik. Lady Gaga sangat luar biasa semalam.
“Suaranya hebat dan indah, pakaiannya sempurna, koreografi mengagumkan, penghayatan mendalam dan dia menyentuh soal cinta serta pembelaan di hadapan jutaan penonton,” katanya.
Bahkan, dia menegaskan tidak perlu membandingkan persembahannya dengan Gaga, malah sebagai wanita dia mengagumi keberanian rakannya itu. “Mari raikan wanita yang berani mengambil risiko berdiri dan terjun dari bumbung. “Siapa kisah kalau saya yang terbang dulu? Saya tak kisah pun. Cirque dan Peter Pan sudah bertahun-tahun terbang,” katanya.
Dalam entri berkenaan, Pink juga tidak ketinggalan menyuarakan pandangannya mengenai pentas politik Amerika Syarikat (AS) yang kini diterajui Donald Trump. Penyanyi itu antara selebriti yang lantang bersuara mempertahankan hak asasi manusia.
Apabila Trump memenangi pilihan raya pada November lalu, Pink menyuarakan rasa kesalnya terhadap presiden baru itu. Awal tahun ini, dia menyertai gerakan Women’s March Los Angeles anjuran pembangkang yang menentang pelantikan Trump sebagai presiden.
0 comments:
Post a Comment