My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 6 February 2017

    Survival Pahlawan Iban Kanang Anak Langkau


    MENDENGAR sahaja tajuk filem terbaharu arahan Bade Hj. Azmi, terbayang kisah keberanian dan semangat kental perjuangan anggota tentera bernama Kanang Anak Langkau seperti diangkat dalam novel Kanang: Cerita Seorang Pahlawan tulisan Maznan Noordin. 

    Begitupun, ketepikan seketika kisah benar yang diterjemahkan dalam novel itu kerana naskhah Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (KALTIW) merupakan perspektif baharu kisah di sebalik survival perajurit negara ini. Filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 16 Mac nanti menjanjikan aksi penuh tragis yang mampu membangkitkan semangat cinta kepada negara.

    Bade berkata, KALTIW merupakan kisah benar yang digarap berdasarkan pertemuannya bersama lima rakan mendiang Kanang yang meninggal dunia pada 3 Januari 2013. “Ketika saya menerima skrip filem ini, mendiang Kanang sudah tiada. Saya merantau ke seluruh Semenanjung termasuk Sarawak untuk mencari rakan-rakan yang rapat dengan mendiang.

    “Ternyata pertemuan itu membuahkan hasil apabila dapat merungkai kisah perjuangan mereka lebih mendalam berbanding bahan bacaan dalam buku. Pendek kata, filem ini merupakan perspektif baharu selepas saya berjumpa dengan lima rakan terdekat pahlawan negara itu,” katanya yang ditemui semasa pelancaran trailer filem tersebut di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas baru-baru ini.

    Ia dibarisi pelakon popular seperti Adi Putra, Johan As’ari, Zach X-Factor, Adam Shahz, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz dan Taufiq Hanafi. Bade menambah, proses menggarap setiap karakter menjadi mudah dengan bantuan watak sebenar iaitu lima rakan mendiang Kanang.

    “Setiap karakter dalam filem ini diangkat melalui kehidupan sebenar, malah kebanyakan watak masih hidup. Jadi, saya perlu mencari pelakon yang hampir sama dari sudut fizikal dan perwatakan mereka. Alhamdulillah, setiap pelakon dapat menjiwai karakter dengan begitu baik selepas berjumpa dengan watak sebenar,” ujarnya.

    Langgi Datuk Kanang

    Ditebak soal pemilihan pelakon pula, Bade mengakui ramai yang mempertikaikan mengapa dia memilih Langgi Datuk Kanang yang tidak dikenali untuk menjadi tonggak utama filem tersebut. Langgi merupakan seorang Iban yang bekerja sebagai tentera dan tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman berlakon.

    Bagaimanapun, menariknya Langgi juga merupakan anak kepada mendiang Kanang. Mempunyai alasan kukuh dengan keputusan yang diambil, jelas Bade:

    “Proses pemilihan pelakon sebenarnya agak panjang. Kami berdepan kesukaran ketika ingin memilih pelakon utama. Watak sebenar Kanang yang berasal daripada kaum Iban penuh dengan ritual sensitif dan bertentangan dengan agama. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pelakon berbangsa lain kerana perlu menjaga sensitiviti itu.

    “Pemilihan Langgi bertepatan kerana dia berasal dari kaum Iban dan merupakan anak kepada mendiang Kanang. Walaupun tiada asas dalam lakonan, namun saya boleh lihat kesungguhannya untuk belajar dan memberi yang terbaik buat ayahnya,” ujar Bade mengakui mengambil masa selama empat tahun untuk memilih pelakon utama.

    Dia menambah, pemilihan pelakon lain pula dibuat berdasarkan sesi uji bakat dan perbincangan bersama penerbit, Zainal Fikri. “Saya tahu psikologi masyarakat terhadap filem bersifat sejarah dan patriotik agak sukar untuk menarik minat penonton. Begitupun, naskhah ini berlainan sama sekali. 

    “Ia merupakan sebuah filem aksi. Saya percaya ia mendatangkan faedah serta mampu membangkitkan semangat cinta negara. Saya harap filem ini akan mengubah skeptikal fikiran masyarakat,” tutupnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Survival Pahlawan Iban Kanang Anak Langkau Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top