Individu yang berhasrat memiliki kediaman baru dinasihatkan menangguhkan perancangan itu terlebih dahulu kerana harga hartanah dijangka menurun bermula pada suku kedua tahun ini.
Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail berkata, pembeli boleh menunggu sehingga April ini sebelum melakukan pembelian berikutan pemaju hartanah dijangka terpaksa menurunkan harga hartanah ekoran pasaran tidak menentu pada tahun ini.
Menurutnya, harga hartanah akan jatuh kepada paras terendah pada tahun ini sebelum momentum peningkatan harga bermula kembali dan melonjak pada 2018.
“Daripada aspek sentimen pengguna, saya lihat pengguna bersikap lebih positif terhadap pasaran hartanah tempatan pada tahun ini meskipun pasaran hartanah di Malaysia dilihat akan terus lembap dan mendatar sepanjang tempoh 12 bulan akan datang,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun sentimen terbabit bergantung kepada jenis pembeli sama ada bagi tujuan pelaburan atau didiami sendiri. Selain pasaran utama, pengguna juga boleh mendapatkan rumah di pasaran sekunder pada tahun ini terutama pada suku pertama dan kedua kerana terdapat banyak pilihan ditawarkan pada harga lebih rendah.
“Untuk pengguna yang membeli untuk diduduki, tahun ini adalah tahun yang sedikit positif bermula suku kedua tahun ini berikutan pelbagai faktor termasuk penurunan harga rumah oleh pemaju dan pelaksanaan inisiatif di bawah Bajet 2017.
“Bagaimanapun, sentimen pengguna yang ingin melakukan pelaburan melalui pembelian hartanah adalah dijangka mencabar berikutan kesukaran mendapatkan penyewa berikutan pilihan yang banyak di pasaran,” katanya.
Ishak berkata, pembelian hartanah dijangka lebih bertumpu di kawasan yang jauh dari bandar namun memiliki kemudahan pengangkutan terutama melalui rangkaian Transit Aliran Massa (MRT). “Saya yakin kemudahan ini akan menarik lebih banyak pembangunan hartanah kediaman dan beberapa situasi positif dijangka berterusan terutama inisiatif di bawah Bajet 2017,” katanya.
Menurutnya, isu seperti kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan dan membayar deposit awal dijangka terus membelenggu hasrat pengguna yang ingin membeli hartanah di samping isu lain seperti peningkatan harga rumah dan situasi pasaran semasa.
“Saya merayu kepada kerajaan untuk melonggarkan syarat pinjaman dengan pengiraan pembiayaan bukanlah dilaksanakan berdasarkan pertumbuhan bersih atau debt service ratio namun pendapatan kasar.
“Selain itu, saya berharap kerajaan dapat memperluaskan skim pembiayaan akhir khusus seperti diumumkan pada Bajet 2017 kepada semua jenis projek pembangunan hartanah dan tidak terhad kepada projek Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya.
Sebelum ini, portal PropertyGuru.com.my melalui tinjauan terkininya mendedahkan bahawa harapan pengguna terhadap pasaran hartanah tempatan akan terus bertambah baik pada tahun ini.
Ia melaporkan 38 peratus koresponden cukup berpuas hati dengan pasaran hartanah pada masa ini dengan peningkatan 10 peratus daripada 28 peratus yang dicatatkan pada separuh pertama 2016 dan 13 peratus lebih tinggi daripada 25 peratus yang direkodkan sepanjang separuh kedua 2015.
Tinjauan Sentimen Konsumer PropertyGuru itu turut menunjukkan sebanyak 58 peratus pengguna berhasrat untuk membeli rumah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2017 sama ada sebagai kediaman sendiri atau bagi tujuan pelaburan. Selain itu, ia mendedahkan bahawa kira-kira 38 peratus pengguna dijangka memilih rumah baru manakala 15 peratus pula beralih kepada pasaran sekunder.
0 comments:
Post a Comment