Klinik Kopi Pepeng semakin popular selepas filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) ditayangkan. Terkenal sebagai kedai kopi yang tidak menyediakan susu dan gula untuk pelanggan, mahu atau tidak kita ‘dipaksa’ minum air ‘kopi sebenar’ sambil mendengar celoteh ‘tukang cerita’, Mas Pepeng, pemilik Klinik Kopi.
Saya antara yang ingin melihat sendiri keunikan klinik kopi itu dan mencarinya apabila ke Jogjakarta. Ia bermula dengan cerita Mas Pepeng mengembara serata Indonesia termasuk Papua untuk mencari biji kopi berlainan jenis. Baginya, ‘kopi tanpa narasi (cerita), hanyalah air berwarna hitam’.
Terpencil, tiada papan tanda
Kedai kopi ini terletak di kilometer 7.5, Jalan Kaliurang, Kabupaten Sleman, Jogjakarta. Lokasinya agak terpencil, tempat tidaklah terlalu jauh dan berdekatan dengan jalan utama, namun langsung tiada papan tanda. Kedainya tertutup rapat dengan pagar. Selain tersorok di dalam kebun sayur dan pokok buluh, kawasan sekitar juga tidak banyak rumah penduduk.
Kedai ini ditempatkan di kawasan rumah tinggal yang saya boleh katakan dekorasinya cukup unik. Di halaman depan ada kebun sayur hidroponik dan beberapa kerusi buluh disediakan untuk pengunjung bersantai sambil menghirup angin Jogja.
Di sebelah dalam pula ada ruangan seramik luas untuk pengunjung bersila dan berborak sambil menikmati kopi panas.
Tunggu giliran lebih sejam
Klinik Kopi ini berbeza kerana cuma beroperasi dari jam 4 petang hingga 8 malam dan menerapkan sistem nombor giliran. Konsepnya sama seperti kita ke klinik untuk berjumpa doktor.
Secara peribadi, saya tidak galakkan anda ke sana dengan perut kosong kerana kedai ini tidak menyediakan makanan berat, hanya makanan alas perut seperti kek pisang, cinnamon roll, kerepek ubi dan kek cawan. Sewaktu di sana, saya menunggu kira-kira satu jam setengah sebelum nombor dipanggil.
Menariknya, masa menunggu akan terisi dengan cerita Mas Pepeng mengenai jenis kopi dan daerah asalnya. Segelas kopi berharga 15,000 rupiah, kek pula 20,000 rupiah sepotong.
Kekal cara lama
Jangan cuba minta gula atau susu kerana ia tidak disediakan. Kata Mas Pepeng, campuran benda asing cuma akan merosakkan rasa asli kopi. Proses menyediakannya masih manual, cara lama. Pengalaman berharga ini cukup bermakna. Suka saya katakan yang kedai ini ‘coffee house’ yang menawarkan sensasi kopi asli. Cubalah singgah kalau ke Jogja!
0 comments:
Post a Comment