Filem biografi Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior bakal menggegarkan pawagam seluruh tanah air dan Brunei Darussalam menjelang 16 Mac ini. Diarahkan sutradara Bade Haji Azmi, karya ini diterajuai anak mendiang Kanang, Langgi anak Kanang yang memegang peranan sebagai bapanya.
Selain Langgi, filem patriotik ini turut menampilkan figura yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman negara antaranya Adi Putra, Johan As’ari, Aidil Aziz, Zach X-Factor, Livonia Guing dan Ruzana Ibrahim. Menurut Langgi, lakonan bukan dunianya, namun menerusi Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, dia berusaha menjiwai karakter mendiang bapanya sebaik mungkin.
“Saya kehilangan kata-kata apabila menonton sendiri karya ini. Saya akui tak banyak ilmu dalam lakonan tetapi saya berusaha menjayakan watak Kanang,” katanya.
Kongsi Langgi, ada beberapa babak yang meninggalkan kesan kepada dirinya, terutama Kanang ditembak komunis sehingga usus terburai. “Babak ini paling meninggalkan kesan kepada saya sebagai pelakon. Saya sendiri sebak tatkala menonton babak ini dan dapat rasa kesakitan yang ditangung mendiang bapa,” katanya.
Sementara itu, Livonia yang memegang watak isteri Kanang, Helen Latai mengakui banyak meluangkan masa bersama keluarga mendiang untuk mendapatkan informasi. “Saya tidak pernah bertemu Helen yang sebenar. Jadi, saya banyak luangkan masa bersama anak dan cucunya bagi menjiwai watak ini.
“Cabaran paling besar apabila perlu berkampung sebulan di dalam hutan dan menjalani latihan ketenteraan. Cabaran lain, saya perlu belajar bahasa Iban dan sedikit sukar kerana saya dari suku kaum dayak,” katanya.
Ruzana yang memegang peranan sebagai Senah, anggota komunis berkata sangat teruja menantikan kehadiran filem ini di pawagam. “Rasa teruja itu sudah ada ketika penggambaran berlangsung tiga tahun lalu. Ini antara watak yang saya dambakan,” katanya.
Tambah Ruzana, filem ini mengubah persepsinya terhadap anggota tentera. “Kini saya nampak kepayahan yang terpaksa mereka lalui. Betapa besarnya pengorbanan mereka demi menjaga keselamatan anak bangsa,” katanya.
Bade, selaku pengarah memaklumkan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior digarap menjadi karya mesra penonton. “Saya tahu, tidak ramai gemar menonton filem berteraskan sejarah. Jadi, saya garap filem ini dalam bentuk yang lebih mesra penonton. Pendek kata, ia dekat di hati kita dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sambung Bade, selain memaparkan kisah perjuangan dia turut menyelitkan elemen aksi dan drama bagi menarik perhatian penonton remaja. “Saya pernah menonton dokumentari Kanang, namun untuk filem ini ia sangat berbeza. Saya perlu cari jalan untuk tarik minat penonton remaja,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan pelakon lain yang dilihat kurang menonjol berbanding watak Kanang, Bade lebih melihat dari sudut keikhlasan mereka dalam lakonan. “Adi, Johan dan ramai lagi dipilih berdasarkan kesesuaian. Menonjol atau tidak, ia di luar kawalan saya. Apa yang penting adalah kejujuran dan keihlasan mereka dalam menjayakan watak diberikan,” katanya.
Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior mengisahkan kembara hidup Kanang ketika hayatnya. Selain memaparkan perjuangannya menentang komunis, turut diselitkan kisah kekeluargaan, kasih sayang dan semangat partriotik.
0 comments:
Post a Comment