RHB Bank Berhad memperkenalkan Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i yang membolehkan pelanggan membuka akaun secara dalam talian dengan proses hanya dalam tempoh 10 minit.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbankan Runcitnya, U Chen Hock berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pendeposit Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i diperkenalkan itu pada tahun ini.
Beliau berkata, lebih menarik, menerusi Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i, pelanggan ditawarkan pulangan sebanyak tiga peratus setahun dan tambahan satu peratus pembayaran bonus apabila mereka menyimpan, membayar bil, berbelanja dan melabur dengan RHB.
“RHB akan terus melabur dalam segmen perkembangan digital bagi memenuhi keperluan gaya hidup masa kini terutama bagi golongan berkerjaya.
“Selain itu, akaun pintar baru ini juga boleh digunakan pelanggan sedia ada dan baru supaya mereka dapat menguruskan akaun sendiri dengan lebih fleksibel hanya di hujung jari,” katanya selepas pelancaran Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i, di sini, semalam.
Menurutnya, pelanggan yang menggunakan Internet dan peranti mudah alih bagi keperluan perbankan dan kewangan semakin meningkat dan sejak Januari 2017, jumlah pengguna meningkat sehingga 2.24 juta orang.
Katanya, dengan prapelancaran Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i pada Januari lalu, pihaknya turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan sebanyak RM7 juta baki setakat 26 Februari 2017.
Beliau berkata, pihaknya yakin lebih ramai pendeposit akan membuka Akaun Pintar RHB dan Akaun Pintar RHB-i kerana ia platform bagi memberi pengalaman perbankan yang mudah, cepat dan lancar untuk pelanggan.
Pelanggan hanya perlu kekalkan baki minimum sebanyak RM1,000 dalam akaun dan dapatkan kadar asas 0.5 peratus setahun manakala deposit minimum RM2,000 setiap bulan bagi melayakkan bayaran bonus 1.5 peratus setahun mengikut terma dan syarat ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment