Namun, berkat kesabaran dan sokongan kawan-kawan, pelajar Jurusan Kejururawatan Kolej Universiti Kesihatan KPJ di Nilai, Negeri Sembilan itu berjaya sampai ke puncak gunung ketiga tertinggi yang berada dalam kelompok tujuh puncak gunung tertinggi di Semenanjung (G7) itu.
“Ia bukan sekadar berjaya menawan puncak gunung tetapi melawan perasaan sendiri antara perkara penting yang saya pelajari sepanjang aktiviti pendakian itu. Cuaca sejuk, kabus tebal dan laluan becak disebabkan hujan lebat antara cabaran yang terpaksa kami tempuhi sepanjang program itu,” katanya.
Camilia merupakan salah seorang daripada 80 peserta yang mengikuti program Trip To Yong Belar 2017 anjuran Red Ants Hikers dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pada program selama dua hari satu malam itu, para peserta yang terdiri daripada sukarelawan AADK berkumpul di Masjid Lojing sebelum menaiki kenderaan pacuan empat roda ke tempat permulaan pendakian.
Pengarah AADK Negeri Sembilan, Ismail Ahmad Khairi turut meluangkan masa untuk menyempurnakan majlis pelepasan peserta. Dari ladang kubis, pendaki berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai di tapak perkhemahan di Kem Tudung Periuk.
Bagaimanapun, Presiden Red Ants Hikers, Mohd. Zaid Yaakub, 31, berkata, mereka tidak dapat meneruskan pendakian seperti mana yang dijadualkan dan terpaksa bermalam di kem itu.
Keselamatan
“Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menghalang kami daripada meneruskan pendakian pada hari itu. Kami mengambil keputusan itu selepas memikirkan tentang keselamatan peserta.
“Pada hari kedua, peserta meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Yong Belar yang dianggarkan sejauh 6 kilometer(km) dari tapak perkhemahan. Dalam perjalanan itu, kami berhenti seketika di Kem Kasut,” katanya.
Setelah meluangkan masa beberapa jam di puncak, peserta kembali ke tapak perkhemahan untuk berkemas dan membersihkan kawasan itu sebelum turun ke ladang kubis. Di sana, beberapa buah kenderaan pacuan empat roda sedia menanti untuk menghantar peserta ke Masjid Lojing sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
Mohd. Zaid berkata, meskipun ekspedisi itu tidak mengikut jadual asal, mereka masih berjaya menyempurnakan program Trip To Yong Belar 2017. “Hujan lebat sepanjang hari dan suhu di bawah 10 darjah Celsius menyukarkan misi kami untuk menawan puncak Gunung Yong Belar.
“Namun, peserta memberikan komitmen dan kerjasama yang baik sepanjang ekspedisi ini,” katanya. Seorang sukarelawan dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Seremban, Muhammad Izuddin Ghazali, 35, yang pertama kali sampai ke puncak G7 itu berkata, dia memperoleh banyak pengalaman baharu sepanjang mengikuti program tersebut.
Kebanyakan peserta mempunyai latar belakang yang berbeza, namun itu bukan menjadi penghalang untuk kami bekerjasama. “Ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik terutamanya apabila kami terpaksa mendaki dalam keadaan hujan dan cuaca yang sangat sejuk.
“Ruang waktu yang singkat itu juga tidak menghalang saya untuk meluangkan masa bersama peserta, sekali gus berkongsi maklumat tentang penyalahgunaan, bahaya, kaedah pencegahan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan dadah.
“Aktiviti seperti ini merupakan satu platform terbaik untuk membantu AADK menyalurkan maklumat berkaitan dadah kepada orang awam terutamanya golongan belia.
Jati Diri
“Kesusahan untuk mendapatkan bekalan air bersih juga tidak menghalang peserta menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Selain menjaga hubungan sesama manusia, peserta juga tidak meninggalkan solat. Ini penting bagi membentuk jati diri sebagai seorang Muslim,” kata Muhammad Izuddin yang bekerja sebagai Pegawai Psikologi di Penjara Kajang, Selangor itu.
Muhammad Izuddin memberitahu, aktiviti pendakian merupakan salah satu cara untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat terutamanya penagihan dadah.
“Berdasarkan pengalaman saya di penjara, kebanyakan banduan berkongsi cerita iaitu antara punca mereka terlibat dengan dadah adalah persekitaran yang tidak sihat dan pengaruh rakan-rakan.
“Jadi, aktiviti pendakian ini mampu menjadi protection factors (faktor perlindungan) kepada kita. Selain daripada mendapat kawan-kawan yang baharu, ia juga menyihatkan tubuh badan kita,” katanya.
Bagi Lau Shi Kin, 24, pula perasaan kecewa menyelinap dalam hatinya apabila terpaksa mendaki dalam hujan dan cuaca sejuk. “Memang ada sedikit perasaan kecewa kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Namun, saya mengetepikan perasaan itu kerana saya terlalu teruja untuk sampai ke puncak.
“Cuaca agak baik pada hari kedua. Jadi, saya mengambil peluang itu untuk melakukan semua aktiviti yang telah dirancang termasuk berkongsi maklumat tentang penyalahgunaan dadah bersama sukarelawan yang terdiri daripada golongan belia.
“Ini adalah satu aktiviti yang berfaedah dan patut diadakan lebih kerap pada masa hadapan,” kata Penolong Pegawai Perubatan AADK Gambang, Kuantan, Pahang itu.
0 comments:
Post a Comment