Sedar tidak sedar, sudah 4 hari berlalu sejak Penjaga Dua Masjid Suci umat Islam, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menjejakkan kakinya ke Malaysia pada Ahad lalu. Kunjungan bersejarah ini pasti akan dikenang dalam lipatan sejarah negara kerana ini adalah kali ketiga, seorang Raja Arab Saudi sudi menjejakkan kakinya ke Malaysia.
Menariknya, sebelum ketibaan Raja Salman, selama beberapa tahun kebelakangan ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir begitu lancang mulutnya menghina keperibadian keluarga DiRaja Arab Saudi. Semuanya gara-gara fitnahnya terhadap Datuk Seri Mohd Najib kononnya tidak mungkin ada keluarga DiRaja Arab Saudi sudi mendermakan RM 2.6 bilion kepada beliau.
Pelbagai penghinaan dibuat oleh Mahathir seperti menggelarkan Ketua Negara Arab Saudi berkenaan sebagai Raja Arab gila, Raja Arab bodoh malah, sekurang-kurangnya dua kali Mahathir menyebut perkataan "bullshit" kepada keluarga DiRaja Arab Saudi. Hal ini nyata telah menimbulkan perasaan kurang senang bagi mereka yang tidak sependapat dengan Mahathir.
Apa yang menariknya, sebaik ketibaan Baginda Raja Salman ke Malaysia pada 25 Februari lalu, Mahathir dikatakan telah ke Langkawi. Tidak dapat dipastikan apa tujuan beliau kesana namun jika dilihat pada pemergian Mahathir kesana, ianya tidak ubah seperti cuba melarikan diri dari gerombolan delegasi Arab Saudi yang tiba di Malaysia.
Persoalannya, di manakah keberanian Mahathir yang telah menggelarkan Raja Arab Saudi dengan pelbagai gelaran dan tohmahan? Kenapa beliau bertindak melarikan diri ke Langkawi sedangkan beliau mempunyai peluang yang baik untuk berhadapan dengan Raja Salman sekiranya Mahathir mengemukakan permohonan rasmi kepada Baginda untuk bertemu?
Adakah Mahathir merasakan dirinya masih berkuasa sehinggakan Raja Salman sanggup ke Langkawi untuk bertemu dengan beliau? Jika dilihat dari reaksi pertamanya semasa Raja Salman tiba di KLIA, Sabtu lalu, beliau sekali lagi dengan lantang menuduh, kedatangan para pemimpin dunia ke Malaysia bukanlah untuk tujuan persahabatan. Sebaliknya ia adalah agenda tersembunyi kerajaan untuk meminta sesuatu.
Dari awal lagi Mahathir telah melemparkan tuduhan yang langsung tidak masuk akal. Lebih melucukan, anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir seolah-olah terlalu naif untuk memahami protokol DiRaja apabila meminta Raja Salman menerangkan sendiri secara terbuka isu membabitkan RM 2.6 bilion.
Adakah Raja Salman serendah itu untuk memenuhi kemahuan anak beranak Mahathir? Ambil secara mudah. Andai Datuk Seri Mohd Najib menipu keluarga DiRaja Arab Saudi atau hanya menggunakan nama mereka untuk melepaskan diri, mana mungkin Raja Salman sudi melabur sebanyak USD $7 bilion di projek Rapid Penggerang? Takkan perkara seperti ini pun gagal difahami oleh Mukhriz dan Mahathir?
Hari ini, Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud telahpun berangkat pergi ke Indonesia bagi mengadakan kunjungan rasmi selama 9 hari di sana. Pastinya, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengharapkan kunjungan ini akan memberi maknanya yang tersendiri terhadap Indonesia. Nampaknya, Mahathir sengaja melepaskan peluang terbaik untuk mengetahui kisah sebenar disebalik derma RM 2.6 bilion hanya kerana sifat penakutnya.
0 comments:
Post a Comment