Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang guru dikhuatiri lemas di Sungai Rajang (Punan Bah) memasuki hari kedua semalam. Mangsa, Michael Usat Emang, 59, semasa kejadian menaiki perahu bersama isterinya sebelum terbalik akibat melanggar sebatang kayu besar hanyut di sungai terbabit sekitar jam 1 petang Ahad lalu.
Bagaimanapun, isteri mangsa dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai sebelum memaklumkan serta meminta bantuan penduduk. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, SAR dimulakan jam 8.30 pagi melibatkan empat anggota Balai Bomba Bintulu dan dua pasukan bomba sukarela daerah Belaga.
“SAR turut mendapat bantuan polis, Jabatan Pendidikan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta penduduk setempat dan kawasan pencarian diperluaskan bagi mempercepat proses pengesanan serta pencarian mangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha pencarian diteruskan sehingga mangsa ditemui kerana tanggungjawab harus digalas bagi membantu keluarga mangsa.
0 comments:
Post a Comment