SELEPAS disahkan akan beraksi pada kejohanan badminton Seluruh England (All England) yang akan berlangsung di Barclaycard Arena, Birmingham, 7 hingga 12 Mac ini, pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei sedia menampilkan aksi terbaik.
Memandangkan kejohanan tersebut bakal menjadi aksi kompetitif pertama buat dirinya selepas berehat panjang hampir tiga bulan, Chong Wei sedia menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuknya kembali mendapatkan rentak menjelang kejohanan-kejohanan yang akan datang.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu turut mengakui, dia bekerja keras selepas mengalami kecederaan untuk menyertai All England dan tidak menolak kemungkinan ia pentas terakhirnya pada kejohanan badminton tertua di dunia tersebut.
“Doktor dan jurulatih sudah buat keputusan bahawa saya akan pergi ke All England. Bagi saya, ia sangat sukar kerana baru pulih daripada kecederaan, namun saya akan fokus pada diri sendiri, tidak kira macam mana keadaannya.
“Saya bekerja keras untuk pulih lebih cepat supaya boleh ke All England kerana kejohanan kali ini mungkin kejohanan terakhir ataupun kedua terakhir saya. Saya hanya mahu nikmati setiap kejohanan kerana apabila bersara, saya tidak akan kembali bermain lagi,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Awal bulan lalu, pemain No. 1 dunia itu mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) pada lutut kirinya selepas terjatuh ketika menjalani latihan di ABM, gara-gara permukaan gelanggang yang licin.
Chong Wei mengakui, walaupun masih terasa sakit memandangkan belum pulih sepenuhnya, namun dia sudah bersedia untuk mempersiapkan diri dari segi mental bagi menggalas misi negara pada kejohanan berprestij itu.
“Masih ada rasa sakit lagi, namun ia tidak jadi masalah. Saya juga tidak boleh cakap sudah pulih 100 peratus, namun saya perlu bersedia untuk ke All England. Undian juga sudah keluar, jadi saya mahu bersedia, terutamanya dari segi mental.
“Memandangkan ia kejohanan pertama saya pada tahun ini selepas hampir tiga bulan berehat, sudah tentu saya akan berikan aksi yang maksimum bagi membolehkan saya mendapat rentak serta menyesuaikan diri dengan saingan kompetitif,” tegasnya.
Chong Wei yang merupakan pilihan utama kejohanan bakal beraksi tanpa kehadiran jurulatihnya, Hendrawan yang berdepan masalah kesihatan, namun dia menegaskan, ia tidak menjadi masalah kerana akan ditemani seorang lagi jurulatih, Tey Seu Bock.
“Bagi saya, tidak ada masalah kerana Seu Bock juga melatih saya. Apa yang paling penting adalah kedua-dua jurulatih ini sentiasa membantu saya dari segi nasihat. Aksi diri sendiri juga jadi peranan pada kejohanan di sana nanti,” ujar pemain berusia 35 tahun itu. Untuk rekod, Chong Wei pernah menjuarai saingan All England sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2011 serta 2014.
0 comments:
Post a Comment