Agak lama kita tidak disajikan dengan cerita berlatarkan kisah benar. Apatah lagi ia membabitkan kisah seorang guru. Filem Adiwiraku tidak hanya memaparkan kesungguhan seorang guru, malah turut menunjukkan pertolongan juga tidak mengenal bangsa.
Filem lakonan Sangeeta Krishnasamy ini mengetengahkan seorang guru berbangsa India dan mengajar subjek Bahasa Inggeris sebagai plot cerita.
Ia berdasarkan video mengenai seorang guru Bahasa Inggeris iaitu Cheryl Ann Fernando di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah yang membawa pelajar sekolah berkenaan menyertai pertandingan ‘choral speaking’ yang tular pada tahun lalu.
Filem arahan Eric Ong yang bakal ditayangkan 9 Mac ini turut menampilkan pelajar terbabit sebagai pelakon dan menjadikan SMK Pinang Tunggal sebagai lokasi penggambaran. Eric berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus selepas dia melihat video berkenaan.
“Ketika itu, pengarah bersama Jason Chong memaklumkan ada satu video yang viral dan selepas saya menontonnya tercetus idea untuk menghasilkan filem. “Ketika itu saya mencari ilham untuk menghasilkan filem pendek tetapi video berkenaan mengubah fikiran saya untuk tampil dengan filem penuh,” katanya.
Eric berkata, dia mencabar diri untuk mengarah filem selepas berpengalaman mengarah drama dan iklan sebelum ini. “Saya tahu besar cabarannya mengarah filem apatah lagi ini adalah filem bajet rendah pasti akan ada masalah.
“Namun, saya perlu yakin dengan apa yang saya lakukan. Lagipun, saya menghasilkan filem ini kerana minat selain ingin berkongsi jalan cerita itu sendiri kepada masyarakat. Kebetulan, sudah lama penonton tidak disajikan dengan cerita seperti ini. Kali terakhir filem Tentang Bulan dan rasanya filem itu sudah hampir 10 tahun,” katanya.
Hampir 90 peratus cerita adalah kisah benar seorang guru dari Kuala Lumpur yang mengajar di kampung, Eric juga tidak menyangka pelajar yang terbabit begitu hebat dalam lakonan masing-masing.
“Ini kisah sebenar dan saya perlu jujur dengan apa yang disampaikan. Justeru, tidak hanya jalan cerita, lokasi dan pelakon juga adalah orang yang sama. Semua pelajar terbabit tidak pernah berlakon tetapi sepanjang menjalani penggambaran mereka memberikan kerjasama baik dan saya tidak sangka masing-masing punya bakat terpendam,” katanya.
Cheryl terkejut lihat lakonan bekas pelajarnya dan tidak menyangka kisahnya diangkat menjadi sebuah filem. “Saya teruja dan terkejut. Apabila Jason menghubungi saya melalui Facebook dia menyatakan perkara itu dan pada mulanya tidak percaya.
“Sehingga segala persiapan produksi hampir siap dan apabila dia menunjukkannya kepada saya terasa bagaikan tidak percaya,” katanya. Cheryl yang mengajar di sekolah berkenaan selama tiga tahun berkata, paling membuatkan dia tidak percaya apabila pelajarnya hebat dalam lakonan.
“Sehingga hari ini saya masih berhubung dengan semua pelajar terbabit. Apabila menonton filem ini memang saya terkejut kerana masing-masing begitu hebat berlakon. “Tidak hanya berjaya dengan ‘choral speaking’, mereka juga ada kebolehan dalam bidang lain,” katanya yang kini bekerja dengan sebuah badan kebajikan.
Cheryl juga mengakui, perbezaan bangsa bukan ukuran dalam membantu seseorang. Biarpun berlainan bangsa, pelajar di sekolah berkenaan tidak meletakkan jarak hubungan dengannya. Malah, keakraban semakin terjalin dan baginya, untuk membantu bukan dinilai daripada bangsa atau agama tetapi ia lebih kepada rasa tanggungjawab seorang guru terhadap pelajar mereka.
Sinopsis
SMK Pinang Tunggal adalah sekolah di kawasan pedalaman yang mempunyai pelajar bermasalah. Masalah yang berlaku dalam kalangan mereka kebanyakannya berpunca akibat kesempitan hidup keluarga masing-masing. Bagaimanapun, kehadiran guru bernama Cheryl Ann Fernando yang mengajar Bahasa Inggeris mengubah pelajar berkenaan.
Tidak hanya sekadar mengajar, Cheryl mempunyai pendekatan yang mereka ibarat adik-adiknya. Sikapnya yang terbuka dengan pelajar membuatkan mereka mula menyayanginya dan selesa berkongsi masalah. Cheryl juga tidak lokek untuk membantu sehinggakan duit gaji setiap bulan habis untuk menolong muridnya.
Kemuncaknya, sebelum meninggalkan sekolah berkenaan selepas khidmatnya hampir tamat, dia berjaya mengharumkan nama sekolah apabila pelajarnya berjaya menyertai pertandingan ‘choral speaking’ yang sebelum itu tidak pernah dilakukan.
Walaupun hanya di tempat kelima, ia adalah pengalaman berharga buat SMK Pinang Tunggal dan pelajarnya kerana pertama kali menyertai pertandingan antara sekolah.
0 comments:
Post a Comment