My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 7 February 2017

    Dekorasi Daripada Barang Terpakai





    TATKALA kaki mengatur langkah menaiki tangga kecil menuju ke bahagian atas bumbung sebuah bangunan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, Azrul Naim Azmi, 27, terpesona melihat struktur bangunan lama itu. Baginya, bangunan itu unik kerana ia masih mengekalkan struktur binaan asalnya yang klasik. 

    “Saya tidak sangka di bahagian atas bumbung bangunan ini ada sebuah kafe yang menarik terutamanya dari segi hiasannya. Selepas melihatnya di laman sosial Facebook, inilah pertama kali saya ke sini semata-mata untuk merasai makanan dan melihat sendiri konsep dekorasi yang diketengahkan kafe ini,” katanya yang mengunjungi kafe Makan at The Basikal baru-baru ini.

    Kafe tersebut bukan sahaja menggunakan basikal lama sebagai hiasan malah ia juga menjual alat-alat ganti dan basikal terpakai. Terletak di Backlane of 90, Jalan Bangsar, Bangsar, Kuala Lumpur, kafe Makan at The Basikal mempunyai tarikan tersendiri. Memilih elemen basikal sebagai hiasan utama, dekorasi kafe itu kelihatan cukup ringkas tetapi menarik.

    Pemiliknya, Azyan Fairuz Abd. Mutalib, 27, berkata, dekorasi hiasan yang cuba diketengahkan di kafenya berkonsep terbuka dan santai. Menurutnya, idea susun atur meja dan hiasan di kafenya itu hanya mengikut cita rasanya.

    “Bumbung bangunan ini pada asalnya hanyalah ruang kosong dan saya melakukan beberapa penambahbaikan agar ia kelihatan menarik. Kebanyakan barangan yang digunakan untuk hiasan dalaman kafe ini adalah barangan terbuang yang masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui di kafe tersebut.

    Dia juga membeli jeriji pintu dan pintu kayu terbuang untuk dijadikan hiasan pada kafe ini. Pintu kayu terbuang diubahsuai untuk dijadikan meja makan manakala jeriji pintu telah diletakkan di beberapa sudut sebagai hiasan. Disebabkan Makan at The Basikal berkonsepkan terbuka, Azyan juga menggunakan rim-rim basikal terpakai untuk dijadikan hiasan dalaman kafe.

    Dia juga meletakkan basikal lama sebagai hiasan dalaman kafe dengan mengekalkan warna asal bangunan lama itu agar ia kelihatan lebih klasik. “Bagi sesetengah orang, barang terbuang mungkin tidak mempunyai nilai. Namun, jika kena pada penggunaan dan susur atur, hakikatnya barangan lama dan terbuang ini ia akan kelihatan menarik,” jelasnya.

    Tambahnya dia memperuntukkan kos sekitar RM30,000 untuk membuka kafe tersebut yang berkeluasan 1,600 kaki persegi. Memandangkan abang kepada Azyan membuka kedai basikal di aras bawah kafe, dia turut memuatkan basikal-basikal terpakai yang diimport dari Jepun. Kebanyakan basikal yang diletakkan di hadapan kafenya itu juga turut dibeli oleh pelanggannya. 

    Menu tempatan 

    “Basikal-basikal terpakai bukan sekadar menjadi hiasan malahan kami juga turut menjualnya kepada pelanggan yang berminat,” jelasnya. Makan at The Basikal yang beroperasi dari pukul 5 petang hingga 11 malam menawarkan makanan selera tempatan. Antaranya ialah asam laksa, mi kari ketam dan nasi lemak telur mata. Ia dijual pada harga serendah RM4 hingga RM20.

    “Sambutan yang diterima cukup baik sekali dan setiap hari kafe kami sentiasa menerima kunjungan pelanggan,” kata Azyan.

    Sementara itu, kepada pemilik kafe Karyabhara yang terletak di Cyberjaya, Selangor, Jumaitul Laily Zakiah Ismail, 26, berkata, dia menerapkan konsep hipster moden untuk kafe miliknya. Menurut Jumaitul Laily, ilham tersebut diperoleh hasil kembaranya ke luar negara yang digabung dengan idea daripada ahli keluarganya sendiri.

    Antara negara yang pernah dilawatinya ialah Belanda, Sepanyol, Britain dan Emiriyah Arab Bersatu. “Saya dan keluarga suka mengembara ke luar negara, dari situ saya mendapat ilham untuk diterjemahkan sebagai hiasan dalaman kafe.

    Pentas

    Nasi goreng kampung dan burger daging antara menu yang ditawarkan di Karyabhara. “Sewaktu kami sekeluarga di London, saya dapati kebanyakan kafe di sana suka menggabungkan kayu dan batu-bata sebagai hiasan dalaman.

    “Selepas pulang ke Malaysia, saya cuba menerapkan konsep tersebut untuk kafe saya kerana pendekatan tersebut belum digunakan secara meluas di Malaysia,” katanya yang memperuntukkan lebih RM100,000 untuk hiasan kafe yang mempunyai keluasan seluas 1,800 kaki persegi. 

    Tambahnya, lampu-lampu yang berwarna-warni ketika mengunjungi Dubai turut menarik perhatiannya. Lalu, Jumaitul Laily membeli lampu tersebut untuk dihiasi dalam kafenya. Meja yang digunakan di Karyabhara juga berbeza-beza dari segi bentuk dan jenis kayu. Bagi menyerlahkan dinding, lukisan mural turut digantung di dinding kafe tersebut.

    “Ini merupakan sebahagian kecil idea yang saya ingin tampilkan untuk hiasan dalaman kafe ini,” katanya ketika ditemui di Karyabhara baru-baru ini. Kepada Jumaitul Laily, hiasan yang berbeza-beza memberi pilihan kepada pelanggan untuk merakam gambar.

    “Misalnya, ada sebuah pentas kecil yang dihiasi dengan beberapa alatan muzik. Sudut itu diilhamkan oleh ayah kerana dia begitu meminati bidang muzik. Bahkan, kami ada menjemput kumpulan band atau sesiapa yang ingin membuat persembahan,” jelasnya. Menurut Jumaitul Laily, pihaknya juga mewujudkan sebuah ruang di tingkat atas kafe untuk ibunya yang meminati lukisan.

    Karyabhara yang menghidangkan menu Melayu, Barat dan fusion mampu memuatkan sehingga 90 orang pengunjung pada satu-satu masa. Antara menu makanan yang terdapat di kafe tersebut ialah nasi lemak berdentum, nasi goreng kampung Karyabhara, burger daging dan kimchi ramyum. Selain itu, kafe tersebut juga turut menawarkan beberapa pilihan kopi bagi penggemar kopi.

    Harga menu yang ditawarkan di kafe tersebut bermula pada harga RM5 hingga RM20. Lazimnya, kafe tersebut akan penuh dengan pelanggan selepas pukul 9 malam. Beberapa sudut di kafe itu juga dihiasi dengan barangan antik.

    Selain dijadikan hiasan, ia juga dijual kepada pengunjung yang berminat. Kafe Karyabhara beroperasi setiap hari iaitu Ahad hingga Khamis dari pukul 5 petang hingga 2 pagi, manakala Jumaat dan Sabtu dari 6 petang hingga 3 pagi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dekorasi Daripada Barang Terpakai Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top