Kegiatan perjudian yang aktif beroperasi di sebuah gudang kosong yang diubah suai menjadi gelanggang sabung ayam di Taman Belian di sini sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu pusat perjudian haram itu kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 3.35 petang itu, polis menahan seramai 326 lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun yang sedang leka menyabung ayam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan seramai 326 kaki judi sabung ayam itu merupakan jumlah yang terbesar pernah direkodkan di negeri ini setakat ini.
Menurutnya, hasil serbuan empat pegawai dan 20 anggota polis tersebut turut merampas sebanyak 21 ekor ayam sabung, tiga ekor ayam yang telah mati akibat pertarungan, cip judi, taji serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil pertaruhan perjudian.
0 comments:
Post a Comment