Amerika Syarikat sehingga kini membatalkan 60,000 visa perjalanan selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif sekatan kepada tujuh negara Islam, kata Jabatan Negara kelmarin.
“Sekurang-kurangnya 60,000 visa individu dibatalkan sementara bagi memenuhi perintah eksekutif. Kami sedar mereka akan mengalami kesukaran buat sementara waktu semasa kami menjalankan kajian di bawah perintah itu.
“Dalam konteks ini, kami mengeluarkan lebih 11 juta visa imigran dan bukan imigran pada tahun fiskal 2015,” kata jurucakap Biro Hal Ehwal Konsul jabatan itu yang menegaskan keselamatan negara masih menjadi keutamaan.
Seminggu lalu, Trump mengeluarkan satu perintah eksekutif bagi menyekat ketibaan selama sekurang-kurangnya 90 hari kepada warganegara Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen. Semua ketibaan pelarian dari seluruh dunia juga dihentikan selama 120 hari.
Dalam tempoh 90 hari tersebut, pentadbiran AS akan mengkaji semula prosedur visa dengan tujuan untuk memperkenalkan dasar Trump yang disifatkan sebagai ‘pemeriksaan ekstrem’ untuk menghapuskan golongan ekstremis.
Pegawai AS menafikan larangan tersebut membawa kepada langkah anti-Islam walaupun perintah itu menyatakan ‘minoriti agama’ di negara Islam akan mendapat keutamaan layanan.
Trump berkata, langkah itu diperlukan untuk mengetatkan keselamatan AS terhadap ancaman pengganas asing dengan memetik serangan pada 11 September 2001 walaupun perampas tidak mempunyai kaitan dengan negara-negara tersebut.
Beberapa hari selepas tindakan itu, berpuluh-puluh pengunjung dengan visa sah dan pemegang permit penduduk Kad Hijau ditahan sebaik tiba di lapangan terbang dan ramai yang dihantar pulang. White House berkata, 109 orang telah disoal siasat di bawah perintah eksekutif Trump itu.
0 comments:
Post a Comment