My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 4 February 2017

    Ibu, Anak Tak Jauh Beza...



    Nampaknya semakin menjadi trend dalam drama, telefilem dan filem tempatan apabila membariskan pelakon pada usia pertengahan, bahkan ada juga yang masih muda memegang watak ibu. Lebih keterlaluan, ada yang digandingkan dengan pelakon jarak usia tidak jauh berbeza sebagai ibu dan anak. 

    Namun begitu, sebagai pelakon tentunya ada menerima dengan baik dan tidak kurang juga yang terus menolak. Ada menganggapnya cabaran dan tanggungjawab sebagai pelakon untuk membawakan setiap watak diberikan dengan sebaik mungkin.

    Tidak kurang juga menganggap fenomena itu semacam tidak masuk akal sekiranya jarak usia pelakon watak ibu dan anak tidak jauh berbeza. Ikuti pandangan beberapa pelakon yang dihubungi media.

    Fauziah Nawi

    “Bagi saya, kalau sesuatu watak itu sesuai dengan jalan cerita, ia tidak menjadi masalah. Kalau diikutkan kepada logik akal sekali pun, ada juga mereka yang sudah berkahwin, nampak muda. Cumanya, situasi ini tidak adil bagi pelakon lebih berusia seperti saya dan rakan seperjuangan. 

    Mungkin kerana produksi inginkan pelakon dengan bayaran lebih rendah, mereka bertindak sebegini. Namun kami yang masih ada ini, tidak ada tawaran berlakon kalau semuanya sudah dimonopoli mereka yang lebih muda.

    Saya sendiri tidak pernah mempersoalkan atau bertanyakan apa-apa mengenai tawaran kepada produser atau pengarah kerana itu semua hak mereka dan rezeki masing-masing.”

    Rebecca Nur Al Islam

    “Saya memang berhati-hati menerima sebarang watak yang ditawarkan. Saya pun ada ditawarkan watak sebagai ibu tetapi timbang dulu sebelum menerimanya. Bukanlah bermaksud saya cerewet tetapi kalau boleh, biarlah sesuatu watak yang dilakonkan itu nampak realistik. Contohnya, saya akan terima sekiranya watak itu sebagai ibu kepada pelakon kanak-kanak.

    Kalau karakter anak saya itu dari kalangan pelakon yang tidak jauh usianya, saya tak akan terima. Walaupun ia hanyalah lakonan semata-mata, kata orang biarlah masuk akal.”

    Ifa Raziah

    “Saya pernah diberikan watak sebagai ibu kepada beberapa pelakon yang usianya lebih kurang usia saya. Antara yang pernah menjadi ‘anak’ saya adalah Watie Elite dan Aaron Aziz dalam drama bersiri Rahsia Hati. Bagi saya, apa juga watak yang diberikan adalah sama sebagai amanah dan tugasan kepada seseorang pelakon.

    Saya sangat bangga sekiranya diberi peranan sebagai ibu. Tertunggu-tunggu juga sekiranya saya berpeluang melakonkan watak ibu yang hidup susah dan tak memerlukan saya untuk bersolek. Namun, kebanyakannya adalah sebagai ibu moden yang sentiasa bersolek, mak datin dan orang kaya.
    Apa pun watak yang diberikan, saya anggap sebagai penghargaan kerja keras saya selama ini. Lagipun, itu adalah rezeki kita sebagai pelakon. Mungkin ketika zaman muda saya dulu kira-kira 20 tahun lalu, nama tidaklah dikenali seperti sekarang. Jadi, semakin meningkat usia, populariti dan harga pun semakin mahal.

    Jadi, rasanya, tak menjadi masalah buat saya sekiranya diberi peranan sebagai ibu dengan sesiapa pun.”

    Lisdawati

    “Saya akan terima kalau itu rezeki saya. Contohnya, kalau sebelum ini, saya diberikan watak sebagai adik dan kakak, kemudian terpaksa menjadi ibu dalam drama lain, saya kena tukar karakter itu mengikut kesesuaian.

    Namun begitu, ada juga beberapa stesen TV yang menolak nama saya daripada senarai pelakon untuk watak lebih tua kerana menurut mereka, saya nampak muda. Saya rasa, itu tidak sepatutnya berlaku dan kalau berlaku, tidak adil untuk pelakon seusia saya. Kami mencari rezeki dengan bidang ini, jadi kalau ada diskriminasi sebegitu, susahlah untuk kami cari makan.

    Jadi, saya sendiri lebih pasrah dan tidak terlalu mengejar tawaran. Kalau ada tawaran, saya terima dan lakukan kerja saya sebaik mungkin. Sebagai artis, kita perlu profesional dalam melakukan kerja sebagai pelakon membawa setiap watak yang diberikan.

    Mengenai ibu yang nampak muda, mungkin secara logiknya ada sesetengah ibu berkahwin awal. Lagipun, ibu sekarang sudah pandai menjaga diri dan penampilan. Jadi, sebab itu nampak muda.

    Amy Mastura

    “Saya sekarang melakonkan watak sebagai ibu angkat kepada Ruhainies dan isteri kepada Azri Iskandar. Kalau diikutkan, usianya memang jauh berbeza kerana saya pun sudah 40-an. Tapi, tak dinafikan, ada juga pelakon baru yang diberikan watak sebagai ibu.

    Selalunya, pengarah dan penerbit akan melihat kesesuaian sebelum tawarkan watak kepada pelakon. Sebagai pelakon, menjadi tugas kita untuk mencabar diri sendiri dan menjayakan watak yang diberikan. Apabila ada tawaran, bersyukur kerana kita sendiri masih diberikan peluang untuk berlakon dan terus kekal di dalam industri.“
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ibu, Anak Tak Jauh Beza... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top