My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 4 February 2017

    Koleos Tampil Segar


    Berbanding model terdahulu, Renault berjaya mengubah Koleos Serba Baru menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang lebih elegan dan menarik. Berubah secara total dari segi rekaan dan transmisi, ia nyata mengangkat tahap model serta jenama Renault lebih tinggi dengan beberapa sistem dan teknologi terkini diperkenalkan untuk kemudahan pengguna. 

    Sesi pandu uji yang dilakukan penulis baru-baru ini nyata memberi pengalaman berbeza dengan ciri terbaik ditawarkan sesebuah SUV. Diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, ia direka penuh ketelitian berasaskan model Talisman dengan garisan pada bonet menampakkan gaya lebih mewah seperti kemasan krom pada beberapa bahagian badan.

    Berkongsi platform bersama Pakatan CMF C/D seperti model Espace, Talisman dan Kadjar selain Nissan X-Trail/Rogue dan Qashqai dengan pengalaman serta keupayaan yang sudah terbukti dalam penghasilan kereta salun, crossover dan SUV.

    Tapak roda sepanjang 2,705mm dan panjang keseluruhan 4,672mm sebagai yang paling panjang dalam kelasnya tampil lebih maskulin sebagai SUV dalam segmen D. Lampu mendatar dan logo Renault di tengah-tengah gril hadapan menyerlahkan gaya Eropah serta ekzos berkembar untuk kelihatan lebih sporty dan berprestasi serta rim aloi Argonaut 18 inci melengkapkan gaya.

    Ruang dalaman kenderaan ini memberikan keselesaan yang maksimum, luas serta fleksibel untuk pelbagai tujuan termasuk bukaan pintu 70 darjah di hadapan dan 77 darjah di belakang. Tempat duduk hadapan dengan fungsi boleh laras enam kedudukan, posisi lumbar dan kemasan warna hitam yang elegan untuk ‘memanjakan’ pemandu.

    Kerusi belakang bukan sahaja selesa malah ruang kepala, kaki bahu dan siku yang luas antara yang terbaik dalam kelasnya sesuai untuk perjalanan dekat atau jauh selain mudah dilipat dalam konfigurasi 60/40 dengan pantas.

    Paling menarik sistem multimedia R-LINK 2 skrin sesentuh bersaiz 8.7 inci menegak dengan fungsi tablet tampil unik untuk kemudahan ciri-ciri hiburan, navigasi, telefon bebas tangan, radio dan bantuan pemandu termasuk ciri Eco. Selain itu, ketersambungan dan pilihan mengecas termasuk Bluetooth, port USB dan soket punca kuasa 12V mengikut varian dengan slot kad SD tersedia. 

    Pemanduan Koleos memberi kepuasan untuk penulis menikmati tenaga dan kelancaran kenderaan yang berterusan dengan enjin petrol 2.5 liter dan transmisi automatik X-Tronic baru menawarkan jumlah gear 7 kelajuan untuk gabungan penjimatan bahan api lebih baik.

    Bukan sahaja efisien, malah ia mampu menjana kuasa maksimum 171 PS dan tork 226Nm sangat responsif pada pelbagai kelajuan terutama ketika memintas kenderaan di lebuh raya.

    Ia juga dipenuhi dengan aspek keselamatan yang berfungsi baik seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Membrek, Agihan Tenaga Brek Elektronik dan Bantu Mula Bukit dan Sistem Amaran Titik Buta sebagai ciri standard.

    Di Malaysia, ia diedarkan secara eksklusif oleh TC Euro Cars Sdn Bhd (TCEC) pada harga RM172,800 (tidak termasuk insurans) dengan empat pilihan warna iaitu Putih Universal, Kelabu Metalik, Hitam Metalik dan Biru Meissen bersama jaminan lima tahun oleh pengeluar dan perbatuan tanpa had.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Koleos Tampil Segar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top