Kampung Kerinchi yang dibangunkan semula dengan kediaman mewah Kerinchi Residensi sebenarnya menyimpan pelbagai sejarah penting. Antara sejarah yang terkenal ialah berkaitan pembukaan kawasan tersebut yang bermula sebagai sebuah kawasan perkampungan setinggan sebelum bertukar menjadi Kampung Kerinchi.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahman, sejarah Kampung Kerinchi bermula pada penghujung abad ke-18 apabila kawasan tersebut dikatakan menjadi lokasi migrasi sekumpulan orang-orang Kerinci dari Jambi, Acheh dan Minangkabau, Indonesia ke Tanah Melayu.

“Melihat keadaan bentuk muka bumi di kawasan baharu tersebut yang mempunyai banyak persamaan dengan kawasan asal iaitu kawasan tanah tinggi, mereka terus membuka penempatan dan tinggal menetap di sini.
“Kampung Kerinchi, secara rasminya dibuka sekitar tahun 1890-an oleh pembesar Melayu bernama Abdullah Hukum dan pengikutnya selepas mendapat kebenaran daripada Raja Laut untuk meneroka kawasan Sungai Putih (kini Jalan Bangsar),” ujarnya yang mesra dengan nama Pak Ajis.
Penerokaan tersebut menemui beberapa kawasan yang berpotensi bagi kegiatan pertanian antaranya seperti di Bukit Nenas. Dahulunya kawasan Bukit Nenas terkenal sebagai aktiviti penanaman buah nanas memandangkan tanahnya subur.

Ia kemudian menjadi profesion bagi kebanyakan peneroka Kerinchi malah warga tempatan turut mempelajari selok-belok bercucuk tanam bagi memperoleh mata pencarian harian. Ia secara tidak langsung sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat walaupun ketika itu Tanah Melayu masih belum maju seperti hari ini.
“Tidak dinafikan, kedatangan orang Kerinci sehingga menjadi antara kumpulan peneroka terawal di Kuala Lumpur menerusi aktiviti yang dijalankan oleh mereka. Selepas mereka meneroka Bukit Nanas, orang Kerinci turut mengembangkan pengaruh mereka di kawasan lain sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Pudu, Sungai Putih (Kampung Haji Abdullah Hukum) dan Petaling Jaya,” tambahnya.
Hasil usaha penerokaan Abdullah Hukum dan pengikutnya, Kampung Kerinchi menjadi perkampungan utama dan terluas di Kuala Lumpur. Mulai tahun 2005, beberapa projek perumahan di kawasan lingkungan berhampiran Kampung Kerinchi mula mengalami transformasi pembangunan yang drastik.

Pada Februari ini, dijangkakan hampir 470 buah keluarga diberi penempatan semula dalam kediaman kondominium berprasarana lengkap. Pak Ajis berharap sejarah generasi Kerinci terdahulu dalam membuka perkampungan tersebut tidak dilupakan oleh generasi muda.
0 comments:
Post a Comment