Di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran persimpangan ke Keramat, Kuala Lumpur kelihatan beberapa kotak kontena setinggi bangunan tiga tingkat disusun rapi di satu kawasan lapang. Sebahagian kontena itu diwarnakan hitam sepenuhnya.
Di tingkat dua, kawasan yang dikenali sebagai The Garage KL itu turut menempatkan sebuah kafe berkonsep hipster, Gaffe & Co. “Saya suka suasana tenang di The Garage KL ini. Persekitarannya agak berbeza berbanding kawasan tumpuan orang ramai yang lain.
“Walaupun nampak ringkas dengan dikelilingi kontena, tetapi ia sangat unik. Malah, saya tertarik dengan konsepnya selepas pertama kali melihatnya di laman sosial,” kata Fatin Hamizah Adnan, 24. Akui eksekutif muda di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu, ia merupakan kunjungan pertamanya ke kafe berkenaan.
Restoran atau kafe berkonsepkan hipster semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung terutamanya mereka yang berada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Malah, konsep kafe hipster menarik untuk dikunjungi kerana kerana mempunyai dekorasi yang unik dengan padanan warna bersesuaian dengan reka bentuk dalamannya.
Perkara itu diakui oleh pemilik The Garage KL, Tengku Azman Tengku Chik, 44, dengan memberitahu, pembukaan kafe Gaffe & Co. adalah tepat pada masanya ketika orang ramai khususnya golongan muda semakin tertarik untuk berkunjung ke kafe atau restoran berkonsepkan hipster.
Bercerita lanjut mengenai kafe tersebut, beliau memberitahu, ia dibuka pada Ogos 2015 lalu selepas struktur binaan The Garage KL yang terdiri daripada 23 kotak kontena terpakai siap sepenuhnya beberapa bulan sebelum itu. Katanya, pada peringkat awal, beliau telah membuat tawaran kepada beberapa buah syarikat untuk menjalankan perniagaan kafe di The Garage KL.
Namun katanya, mungkin disebabkan kedudukannya yang terletak agak terselindung di sebalik jejantas Lebuh Raya Duta-Ulu Klang telah menyebabkan tiada syarikat yang berani menerima pelawaan tersebut.
Garaj dan kafe
“Disebabkan tidak mahu membiarkan ruang tersebut kosong begitu sahaja, saya membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan kafe sendiri dengan menggunakan nama Gaffe & Co. hasil gabungan perkataan garaj dan kafe.
“Sememangnya di bangunan ini terdapat bengkel membaiki kereta selain sebuah bengkel mereka bentuk motosikal kostum yang terletak di tingkat bawah. Saya sengaja membiarkan ruang di tingkat bawah untuk dijadikan bengkel membaiki kereta bagi memenuhi permintaan pelanggan lama saya yang masih memerlukan khidmat membaiki dan melaras kenderaan mereka,” katanya.
Tengku Azman sebelum membuka kafe tersebut memiliki bengkel membaiki, talaan dan menaik taraf kenderaan khususnya kereta mewah berjenama dari Eropah.
Namun katanya, disebabkan ingin meluaskan bidang perniagaan, dia mengambil keputusan membuka The Garage KL untuk dijadikan pusat sehenti kerana selain kafe dan bengkel kenderaan, lokasi tersebut turut menempatkan beberapa premis lain termasuklah kedai menjual aksesori motosikal klasik, aksesori rokok elektronik, kedai gunting rambut, percetakan dan pusat agrikultur.
“Saya mahu pelanggan yang datang ke kafe ini bukan sekadar menikmati hidangan semata-mata tetapi mereka juga boleh menyelenggara kenderaan atau membeli barangan lain yang dijual di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi The Garage KL, Norshazerin Nordin, 35, memberitahu, kafe tersebut dikunjungi kira-kira 200 pelanggan pada hari bekerja dan jumlah itu akan meningkat sehingga 350 orang pada hujung minggu.
“Sebahagian besar menu utama di kafe ini ialah hidangan Barat seperti daging panggang dan pasta berserta minuman berasaskan kopi.
“Bagaimanapun, kami turut menyediakan menu bagi sarapan bagi pada setiap Sabtu dan Ahad. Kami mempelawa sesiapa yang meminati hidangan Barat agar mencuba resipi di kafe ini kerana ia lain daripada yang lain,” katanya dengan memberitahu harga bagi hidangan tersebut adalah antara RM18 hingga RM45, manakala bagi minuman pula antara RM8 hingga RM15 setiap satu.
Katanya lagi, kafe tersebut dibuka pada pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari bekerja dan pada hujung minggu pula, ia dibuka seawal pukul 9 pagi hingga 1 pagi. Bagi seorang pelanggan, Mohd. Hanafi Kamit, 30, dia akan memesan hidangan pasta makanan laut marinara selain kambing gril setiap kali berkunjung ke situ.
“Rasa hidangannya memang betul-betul sedap. Saya tidak kisah jika terpaksa berbelanja lebih sedikit kerana apa yang dihidangkan memang berbaloi. Tambahan pula, jika datang pada hujung minggu, saya boleh menikmati hidangan sambil mendengar nyanyian oleh kumpulan buskers yang membuat persembahan secara percuma di sini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment