My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 2 February 2017

    Malaysia Terkesan Dasar Baru Ekonomi US


    Dasar perdagangan bersifat melindungi diri yang cuba dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) di bawah kepemimpinan Presiden Donald Trump akan memberi tekanan kepada negara yang terdedah kepada perdagangan dengan negara itu. 

    Malaysia antara negara yang bakal menerima impak terhadap sebarang polisi di AS berikutan negara itu adalah rakan dagangan utama sejak berdekad lalu terutama dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

    Ketua Ekonomi Jabatan Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, kesamaran daripada aspek hala tuju polisi perdagangan dan ekonomi AS menyukarkan rakan dagang termasuk Malaysia untuk menilai impaknya kepada ekonomi masing-masing, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan di pasaran.

    Beliau berkata, jika dilihat daripada sumbangan eksport dan penyertaan syarikat AS di negara ini, jelas ia memiliki jumlah yang ketara dan penting kepada Malaysia.

    “Secara umum, polisi perdagangan AS bakal mengalami perubahan di bawah kepemimpinan baru namun saya percaya jalinan perdagangan yang lama terbina antara Malaysia dan AS akan memberi kesan baik untuk kedua-dua pihak,” katanya.

    Selepas dilantik sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu, Trump berusaha untuk menunaikan janji pilihan rayanya bagi menjana ekonomi domestik dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat yang disifatkan terjejas dengan arus globalisasi.

    Antara langkah dilaksanakan termasuk menarik diri daripada rundingan untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan mengenakan cukai yang tinggi bagi syarikat AS yang memiliki kilang di luar negara. Beliau berkata, polisi itu bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi ekonomi domestik AS, malah bakal dirasai oleh negara luar seperti Malaysia.

    “Sebagai contoh, dasar ekonomi bersifat pengembangan fiskal bakal mempengaruhi pasaran bon, sekali gus mempengaruhi pergerakan dan pasaran mata wang asing secara tidak langsung,” katanya. 

    Ketika mengulas langkah Trump ke atas syarikat AS itu, Dr Kamaruddin berkata, tindakan syarikat berkenaan mengembangkan operasi mereka ke luar negara berdasarkan faktor seperti kos menjalankan perniagaan yang lebih kompetitif serta akses pasaran luas.

    Katanya, tindakan syarikat itu membolehkan barangan dihasilkan di luar AS diimport semula ke AS dengan harga yang kompetitif untuk pasaran domestik. “Justeru, tindakan meminta syarikat memberi fokus kepada pelaburan dalaman bakal menghakis kompetitif produk mereka serta menekan pengguna di sana,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Terkesan Dasar Baru Ekonomi US Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top