Pada kebiasaannya, setiap pagi, pekan Lundu ini berada dalam keadaan yang cukup damai dengan penduduk sekitar sibuk menjalankan urusan seharian masing-masing. Boleh dikatakan, amat jarang pekan kecil ini dipenuhi oleh warga N03 Tanjung Datu melainkan jika ada acara tertentu sahaja.
Namun semalam, di Dewan Masyarakat Lundu, hampir 2,000 orang penyokong Barisan Nasional berhimpun untuk mengiringi pencalonan Datuk Amar Hajah Jamilah Anu. Lebih mengujakan, ada yang datang dari Sampadi sehingga paling jauh di Teluk Melano hanya untuk menyemarakkan hari penamaan calon di sini. Berikut merupakan sedikit corat coret hari kedua Pilihan Raya Kecil N03 Tanjung Datu.
1. Cuaca pada awal pagi di Lundu agak sejuk sehingga adakalanya kelihatan seperti berada di tanah tinggi. Mungkin kerana faktor geografi pekan ini yang dikelilingi oleh gunung serta berdekatan dengan laut menyebabkan udara di sini cukup segar untuk dihirup terutamanya di awal pagi.
2. Stadium Mini Lundu menyaksikan deretan helikopter yang digunakan oleh pemimpin utama negeri dan pusat untuk mengiringi Datuk Amar Hajah Jamilah Anu ke pusat penamaan calon. Paling awal tiba di Dewan Masyarakat Lundu semalam adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dipercayai mengikut jalan darat.
3. Perkarangan masjid di Lundu dijadikan pusat menjamu selera buat para penyokong Barisan Nasional di DUN ini tanpa mengira kaum dan agama anutan masing-masing.
4. Sebaik sahaja sah 3 orang calon bakal bertanding di DUN ini, hujan turun membasahi seluruh DUN ini dan sekaligus menjadikan cuaca kembali sejuk setelah para petugas, pemimpin dan penyokong terpaksa berpanas hampir 3 jam di hadapan Dewan Masyarakat Lundu.
5. Boleh dikatakan, seluruh kedai makan yang ada di Lundu dipenuhi oleh parapengunjung sehingga ada yang terpaksa pergi ke Sematan dan Pantai Pandan untuk makan tengah hari.
6. Mungkin kerana hari penamaan calon bermula pada hari Sabtu, boleh dikatakan langsung tiada sebarang pergerakan politik pada hari berkenaan. Penduduk kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan urusan seharian sebaik sahaja usai hari penamaan calon.
7. Boleh dikatakan, langsung tiada sebarang poster tergantung sehingga ada yang mendakwa, suasana disini bukan seperti berada dalam tempoh Pilihan Raya Kecil. Namun begitu, di percayai, segala poster, banner dan kempen akan dipergiatkan menjelang seminggu sahaja lagi hari pengundian sebenar berlangsung.
0 comments:
Post a Comment