My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 7 February 2017

    Puas Dapat Menjerit



    Antagonis Samara Morgan kembali ‘menghantui’ peminat filem seram Rings yang akan menggegarkan pawagam tempatan Khamis ini. Seperti filem Ring lalu, Samara menerusi pita video sumpahannya terus memburu individu yang menonton rakaman itu selepas tujuh hari. 

    Dalam filem arahan F Javier Gutierrez ini, wanita bernama Julia dibintangi Matilda Lutz menemui satu rakaman video baru dalam pita terbabit ketika berusaha menyelamatkan kekasihnya daripada dibunuh Samara. Kali pertama membintangi filem Amerika Syarikat, pelakon kelahiran Itali ini mendedahkan menutup matanya sepanjang menyaksikan filem pertama Ring sewaktu kanak-kanak. 

    “Selepas menjalani sesi uji bakat Rings, saya menonton semula filem itu pada jam 2 petang. Meskipun hari itu cerah, saya masih tidak berani menontonnya seorang diri. Jadi, saya menghubungi abang untuk menonton filem itu bersama,” katanya kepada majalah Cosmopolitan.

    Meskipun penakut, ia tidak menghalang pelakon berusia 26 tahun itu untuk berdepan dengan Samara. Malah, Matilda memberitahu bahagian paling digemarinya sepanjang penggambaran Rings adalah dapat menjerit sepuas hati. “Saya boleh menjerit sekuat hati dan selepas itu berasa lega.

    “Ketika ditawarkan watak Julia, saya berada di Indonesia dan produksi meminta saya menghantar gambar menjerit,” katanya. Dia kemudian meminta bantuan seorang lelaki untuk mengambil beberapa keping gambar ketika menjerit.

    “Situasinya memang kekok. Semasa penggambaran babak jeritan pertama, produser memberitahu dia bersyukur saya dapat menjerit dengan baik,” katanya. Bercerita lanjut mengenai Rings, Matilda menjelaskan suasana ruang bawah tanah gereja dalam filem terbabit memang menyeramkan. 

    “Sebenarnya ia ruang bawah tanah sebuah pasar raya di Atlanta yang pernah digunakan untuk menjual kelengkapan ilmu hitam. “Sama seperti dalam filem, ruang berkenaan sangat kotor dan berhabuk sehingga sukar bernafas kerana kurang udara serta tiada tingkap,” katanya.

    Menurutnya, terdapat beberapa babak seram turut menakutkan kru sehingga ada yang memandang arah lain ketika penggambaran. “Ketika saya mengeluarkan gumpalan rambut dari mulut, jurukamera pandang ke tempat lain,” katanya. Barisan pelakon lain yang turut membintangi filem Rings adalah Alex Roe, Johnny Galecki, Vincent D’Onofrio, Aimee Teegarden dan Bonnie Morgan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Puas Dapat Menjerit Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top