Dalam 3 siri sebelum ini, kesemuanya banyak menyentuh tentang bagaimana Proton menciptakan sendiri kejatuhannya. Terlalu banyak punca bagaimana Proton membiarkan dirinya berada dalam keadaan yang tidak menentu walaupun sebanyak RM 20.1 bilion di belanjakan oleh DRB-Hicom untuk membeli Proton untuk dijadikan sebuah entiti yang bebas.
Banyak sebab menyumbang kepada kejatuhan Proton dan paling utama, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana sebuah syarikat masih gagal menjana keuntungan walaupun sudah 32 tahun beroperasi. Malah, pasti ramai yang hairan, bagaimana Proton masih gagal menembusi pasaran antarabangsa di mana Honda dan Toyota hanya mengambil masa kurang 10 tahun untuk melakukannya.
Sebenarnya, Proton kekal mempunyai sentimental value buat kerajaan walaupun Proton kini sudah 100 peratus di swastakan. Ini kerana, sebanyak 7 kali Proton di selamatkan menerusi bantuan kerajaan yang kini sudah mencecah angka RM 14.5 bilion. Namun, seperti biasa, jika setiap kali susah, ada sahaja yang menghulurkan tongkat, begitu jugalah Proton.
Setiap kali Proton mengalami masalah, kerajaanlah tempat mereka mengadu dan meminta pertolongan. Persoalannya, sampai bila mentaliti sebegini kekal diamalkan Proton kerana Proton kini merupakan satu syarikat yang bebas tanpa terikat dengan kerajaan?
Bayangkan, betapa sayangnya kerajaan dengan Proton, kerajaan mengeluarkan belanja yang banyak untuk memastikan semua model Proton dijadikan kereta kerajaan seperti kereta peronda, kereta para pegawai kerajaan, kenderaan untuk semua sektor kerajaan dan banyak lagi. Malah, Datuk Seri Mohd Najib sendiri menjadikan Exora sebagai model Teksi 1Malaysia yang kini sedang beroperasi di Ibu Negara.
Jika dinilai dari segi untung rugi, pasti ramai yang meminta kerajaan menutup sahaja Proton kerana langsung tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Namun jika kita nilai dari segi kemanusiaan, cadangan penutupan ini sebenarnya akan menginaya lebih 10 ribu pekerja yang kini sedang berkhidmat di dalam Proton termasuklah jurujual yang bergantung penuh kepada komisyen.
Mungkin, mereka boleh mencari kerja lain terutamanya jurujual. Namun, berapa ramai yang mampu memperolehi kerja lain jika bersandarkan kepada pengalaman bekerja di Proton? Mungkin inilah antara sebab kenapa kerajaan masih lagi membantu Proton walaupun hakikatnya Proton sebuah syarikat yang kini bernaung di bawah DRB-Hicom.
Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh Proton saat ini? Salah satu cara yang mungkin boleh menyelamatkan Proton adalah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pengeluar kenderaan dan sekaligus membuka peluang untuk Proton memasarkan kenderaan mereka di negara luar. Persoalannya, masih adakah pengeluar kereta yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Proton?
Proton pernah meninggalkan begitu sahaja kerjasama mereka dengan Mitsubishi kononnya mereka mempunyai teknologi jauh lebih hebat apabila bekerjasama dengan Lotus. Proton pernah mensia-siakan kerjasama mereka dengan Volkswagon. Proton juga pernah enggan mengambil peduli cadangan Honda dan Renault untuk penambah baikan pengurusan Proton.
Lebih melucukan, Perodua, sebuah lagi syarikat pengeluar kereta tempatan juga turut enggan bergabung dengan Proton atas alasan teknikal yang menjadikan perjanjian penggabungan berkenaan akan menjadi berat sebelah. Kini, apa lagi pilihan yang ada pada Proton? Adakah proton mahu mengekalkan keputusan untuk kekal bersendirian atau menjual sahaja apa jua aset yang ada pada mereka kepada pihak yang berminat?
Dalam satu perkembangan terkini, pihak pengurusan Proton dilaporkan sedang menimbangkan untuk menjual 51 peratus saham Proton kepada Geely Automobile Holdings Limited dilihat sebagai satu langkah yang baik. Ini kerana, pihak pengurusan Proton sendiri sejak lebih 10 tahun yang lalu gagal melonjakkan jualan Proton walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan.
Harus diingat, Geely adalah pihak yang bertanggungjawab mengedar dan menyediakan alat ganti buat Volvo yang dikenal pasti sebagai satu model global yang begitu ketat piawaiannya. Melalui Geely, Volvo mampu menembusi pasaran China dan kini, Volvo adalah antara model pilihan penduduk China. Adakah salah Proton membiarkan Geely menguruskan Proton untuk mengembaikan zaman kegemilangannya?
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment