Hari ini adalah kali ke 60 Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengunjungi Sarawak sepanjang 8 tahun beliau mengetuai kerajaan. Ini bermakna, beliau lebih banyak mengunjungi Sarawak berbanding negeri-negeri lain yang ada di Malaysia hari ini.
Fakta ini sebenarnya di ambil daripada ahli politik vateran Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu sewaktu penulis berkesempatan bertemu dengannya sewaktu perasmian Medan Selera Lundu, di sini, tengah hari tadi. Tan Sri Alfred nyata cukup kagum dengan komitmen Datuk Seri Mohd Najib dan perhatian yang diberikan oleh beliau terhadap negeri Sarawak.

Justeru katanya, beliau menganggap, negeri Sarawak ini begitu dekat di hati Perdana Menteri dan oleh kerana itulah, terlalu banyak projek dan prasarana telah dibawa ke Sarawak berbanding apa yang dilakukan Mahathir selama 22 tahun untuk Sarawak.
Jika direnung kata-kata Tan Sri Alfred Jabu ini, sememangnya ada asasnya. Sarawak mula mengalami transformasi kemajuan apabila Datuk Seri Mohd Najib mula melihat betapa perlunya Sarawak dibangunkan sesuai dengan status negeri ini antara negeri yang paling banyak mengeluarkan hasil bumi.

Jadi tidak hairanlah apabila Datuk Seri Mohd Najib bersama-sama Allahyarham Tok Nan mengilhamkan pembangunan Pan Borneo Highway dan pelbagai projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak. Semua ini mungkin tidak akan dapat di perolehi seandainya Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri.
Sejauh ingatan penulis, Bandaraya Kuching hanya menerima sedikit sahaja impak kemajuan Malaysia. Apa yang ada di Kuching hanyalah bagunan-bangunan hotel dan pembinaan Waterfront Kuching yang sejak sekian lama menjadi mercu tanda Kuching. Bagi kawasan-kawasan lain di Sarawak, impak pembangunan teramat perlahan malah ada yang langsung tidak diberi perhatian.

Justeru, adalah amat difahami bagaimana rakyat Sarawak begitu menyanjung tinggi kerajaan negeri dan pusat yang dilihat tidak putus-putus memberikan pembangunan berterusan untuk penduduk Sarawak tanpa mengira agama anutan, bangsa dan juga etnik.
0 comments:
Post a Comment