Minggu ini nama pelakon jelita, Uqasha Senrose kembali panas gara-gara digosipkan bercinta dengan pelakon dan pengacara, Hefny Sahad. Gosip itu timbul bila kedua-duanya sering berbalas komen di laman sosial dan Uqasha turut menulis komen yang berbaur cemburu selepas lelaki itu memuat naik gambar bersama Diana Danielle.
Bagaimanapun, komen ‘rapatnya’ yang ditulis Uqasha akhirnya dipadamkan. Tidak cukup di situ, gosip cinta mereka dikuatkan lagi dengan muat naik gambar Hefny bersama Uqasha yang saling merenung antara satu sama lain.
Baru-baru ini, Hefny tampil mengatakan kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu merupakan wanita paling rapat dengannya saat ini dan mereka kini dalam proses mengenali hati budi. Tidak menyatakan status hubungan mereka, Hefny bagaimanapun mengaku, dia melihat Uqasha sebagai wanita yang memiliki ciri-ciri sebagai isteri.
Media cuba mendapatkan komen balas Uqasha mengenai pengakuan lelaki itu. Dalam tutur kata yang manja, Uqasha mengakui kenyataan Hefny itu, bahkan mendedahkan kenapa hatinya terpaut pada lelaki tersebut.
“Walaupun tidak pernah berlakon sama, namun kami kenal sebagai rakan artis sejak 2012. Selepas kenal hati budi, kami mula rapat pada 1 November lalu.
“Kalau ditakdirkan kami ada jodoh, saya terima. Sebab dia seorang yang baik dan terima saya seadanya walaupun orang bercakap buruk tentang saya. Malah, dia banyak bantu memperbetulkan hidup saya,” dedah pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen itu.
Diajak berkongsi mengenai status hubungan dan perancangan mereka, Uqasha menyerahkannya kepada Hefny. Bagi pelakon berusia 25 tahun itu, sebagai wanita, tidak manis sekiranya dia mendedahkan mengenai fasa hubungan mereka.
Dalam perkembangan lain, Uqasha mengaku masih menerima komen-komen negatif daripada pengikutnya dan ada daripada komen tersebut menusuk hatinya. “Sehingga hari ini, orang masih bercakap dan menulis komen buruk setiap kali saya muat naik status dan gambar di laman sosial.
Sebagai manusia, ada kata-kata mereka yang mengguris hati saya. Ada juga komen-komen baik dan saya ambil ia sebagai panduan untuk menjadi lebih kuat,” ujarnya yang pernah mencetuskan kontroversi selepas mengambil keputusan membuka hijab sekitar Ogos tahun lalu.
Tidak mahu mengambil kata-kata negatif sebagai pelemah semangat, Uqasha bangkit dan bersyukur dengan tawaran lakonan yang tidak putus-putus ketika ini.
Selepas menjayakan drama Kerana Anisa, dia kini sedang menjalani penggambaran untuk drama Syurgaku Tak Sempurna, arahan Michael Ang, terbitan DarkWave Pictures Sdn. Bhd. Uqasha juga bakal menjayakan sebuah drama di TV3 bersama pelakon Izzue Islam.
0 comments:
Post a Comment