Lima orang terbunuh dalam kejadian keganasan menjelang pilihan raya Presiden dan pihak berkuasa tempatan di seluruh Filipina menyebabkan anggota keselamatan dikerah berjaga-jaga. Lebih 54 juta rakyat Filipina mendaftar mengundi bagi menentukan Presiden, Timbalan Presiden, 12 senator, lebih 200 wakil Kongres dan berpuluh-puluh ribu pegawai tempatan baharu semalam.
Lima orang calon yang bertanding untuk jawatan Presiden mengakhiri kempen mereka kelmarin selepas tiga bulan berkempen di kepulauan yang mempunyai lebih daripada 7,000 pulau itu. Walaupun perhimpunan akhir kempen mereka berada dalam keadaan aman, namun polis mencatatkan sekurang-kurangnya tiga serangan yang menyebabkan lima orang mati.
Seorang calon bebas bagi jawatan Datuk Bandar di bandar Jones di wilayah Bukidnon, selatan Filipina dilapor ditembak mati di rumahnya kelmarin. Di wilayah Maguindanao, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh dalam dua serangan bom tangan di bandar Shariff Aguak, kata jurucakap tentera serantau, Kapten Jo-ann Petinglay.
Serangan di kawasan perbandaran Shariff Aguak berlaku di luar rumah seorang ahli politik tempatan apabila keluarganya dituduh menjadi dalang dalam insiden pembunuhan 58 orang pada 2009, kata Petinglay.
Di wilayah Isabela, utara Filipina pula, tiga orang terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata menyerang hendap sebuah konvoi seorang calon Datuk Bandar di bandar Jones, kata polis.
Menurut rekod polis, sejak 15 Januari lalu, keganasan berkaitan dengan pilihan raya menyebabkan 15 mangsa terbunuh. Suruhanjaya Pilihan Raya pula berkata, proses undian bermula pukul 6 pagi (waktu tempatan) semalam.
0 comments:
Post a Comment