Sedar tak sedar sudah empat tahun pelakon berbakat besar Maimon Mutalib meninggalkan kita akibat kanser payudara tahap empat. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 54 tahun, jam 2.20 petang di rumahnya di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, pada 7 September 2013 sebaik dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) beberapa jam sebelum itu.
Ketika hayatnya, Maimon mampu membawakan watak yang diberikan dengan berkesan. Berilah apa saja watak daripada ibu mithali, wanita garang, wanita misteri, nenek dan komedi, semuanya berjaya dilakonkannya dengan cemerlang.
Meskipun sedang menderita sakit, Maimon yang berstatus ibu tunggal tetap gigih berlakon bagi menyara lima anaknya. Dia tidak pernah menunjukkan kesakitannya dilokasi dan tetap berlakon seperti biasa.
Pada saat akhir hayatnya, pemilik syarikat produksi Enuja Production, Zainuddin Mohd Ismail memberi kepercayaan kepada Maimon dengan memberikannya peluang berlakon dalam telefilem Dari Asar Ke Isyak arahan Murali Abdullah.
Memetik kenyataannya ketika ditemui di lokasi penggambaran ketika itu, Maimon melahirkan perasaan terharunya kerana Enuja Production masih sudi membuka peluang untuknya berlakon. Zainuddin berkata, dia gembira kerana selepas empat tahun disimpan, telefilem Dari Asar Ke Isyak akhirnya menemui penonton menerusi slot Citra Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada jam 10 malam ini.
“Boleh dikatakan ini tayangan eksklusif lakonan Maimon sempena Hari Ibu yang baru disambut kelmarin. Biarpun wataknya kecil, arwah memainkan watak penting bersama Faizal Hussein dalam menggerakkan cerita ini.
“Dia membawa watak sebagai ibu manakala Faizal pula sebagai anak sulung. Saya pasti ramai penonton akan mengalirkan air mata apabila menonton telefilem ini kerana jalan ceritanya yang sedih dan mengandungi pengajaran tersendiri.
“Dalam keadaan sakit, Maimon masih berikan lakonan yang bagus. Penjiwaan wataknya sangat hebat dan dia juga banyak membantu dari aspek penceritaan watak dan idea,” katanya.
Menurut Zainuddin, telefilem ini membawa erti tersendiri buatnya dan Murali. “Ia dihasilkan atas tanggungjawab melahirkan perasaan simpati dan tanda persahabatan kami dengan arwah Kak Mon. Hasil perbincangan kami juga, dia diberikan watak khas sebagai Fatini dalam telefilem ini.
“Kami prihatin dengan keadaan Kak Mon dan dia hanya dikehendaki berlakon di atas kerusi roda. Kami tak nak terlalu memaksa dia berlakon kerana ketika itu, Dari Asar Ke Isyak adalah lakonan pertamanya selepas setahun berehat kerana merawat penyakit yang dihidapinya.
“Apa yang dibuat ketika itu ialah untuk bantu Kak Mon kerana dia sangat berjasa terhadap industri filem dan drama dengan lakonan yang mantap dan bagus.
“Orang tak tahu penderitaan yang dia alami. Dia sakit, namun pada masa sama, dia terpaksa memikirkan bagaimana nak cari wang untuk menyara keluarga selepas kematian suaminya sejak 15 tahun lalu,” katanya.
Telefilem Dari Asar Ke Isyak mengisahkan Fatini (Maimon) yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh suaminya. Suaminya, Badron (Soffi Jikan) mempunyai ramai isteri dan Fatini adalah isteri keduanya. Badron seorang lelaki yang rakus nafsu. Kahwin cerai sudah menjadi kebiasaan buatnya.
Tidak cukup dengan empat isteri, dia juga turut mencabul anak-anaknya yang masih kecil tidak kira lelaki atau perempuan. Suatu malam dia cuba mencabul anak perempuannya, Jawhara yang berusia dua tahun. Perbuatannya dilihat oleh isteri tuanya, Zainab.
Apabila Zainab cuba menghalangnya, Badron mencekik Zainab sehingga mati. Peristiwa ini disaksikan Fatini yang bertindak menikamnya dengan pisau. Ia juga disaksikan anak mereka, Syukri (Faizal Hussein) yang ketika itu berusia tujuh tahun.
Zainab dan Badron meninggal dunia pada malam yang sama. Kejadian itu mengakibatkan Fatini ditahan sebelum didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
0 comments:
Post a Comment