Jiwa mana yang tidak terasa syahdu dan tenang apabila mendengar alunan ayat suci al-Quran pada Ramadan ini. Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW pada Ramadan dan sewajarnya kitab suci itu diangkat serta dimuliakan umat Islam serta dijadikan rutin membacanya sepanjang bulan ini walaupun sehari hanya satu muka surat.
Ketika menghadiri program Himpunan Artis Sayang Al-Quran (HASA1.0) di dewan utama, Menara FELDA, Kuala Lumpur baru-baru ini, daripada kejauhan sudah terdengar kemerduan suara Ameng Spring mengalunkan surah al-Baqarah (ayat 106 - 112). Semua hadirin terpukau menghayati setiap bait indah kalam Allah itu.
Sebelum itu, atur cara yang bermula jam 5 petang itu diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan monolog daripada Ustaz Tarmizi, Ustaz Abdul Khair, Ustaz Amirahman, Fakhrurrazi, Raqib Majid, Ustaz Zul Ramli, Heliza Helmi, Diana Amir, Salima Habibi, Faiz Adnan, Razak Ahmad, Zainab Othman dan diakhiri nyanyian beramai-ramai lagu Teman Sejati.
Hadir sama kumpulan nasyid Brothers. Antara artis dan selebriti lain yang hadir ialah Fizo Omar, Adam Corrie, Irma Hasmie, Sariyanti, Aida Khalida, Awie Rafael, Noh Hujan, Mizznina, Farah Fauzana, kumpulan nasyid Fareast dan Zed Zaidi.
Turut memeriahkan suasana, Zack Kool, Hafiz, Erry Putra, Anita Baharom, Ustazah Asni Abu Mansor, Datuk Dr Fadzilah Kamsah,Ustaz Syed Abd Kadir Syed Hussin Aljoofre, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi dan Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad.
Sebagai tanda penghargaan kepada tokoh agama terkenal negara, Tan Sri Hassan Azhari, 88, beliau dianugerahkan Hamalah Al-Quran (Pembawa Al-Quran) kerana memartabatkan al-Quran sejak muda.
Hassan terkenal dengan program Muqaddam yang diterbitkan pada awal 1970-an di saluran Radio Televisyen Malaysia dan beliau juga insan yang melaungkan azan sewaktu kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
# Ustaz Zul ilhamkan HASA1.0
Program HASA1.0 diilhamkan Ustaz Zul Ramli dan ia sudah lama dirancang, tetapi tidak pernah kesampaian berikutan komitmen masing-masing. Bagaimanapun, penceramah bebas itu berasakan program berkenaan perlu dilaksanakan Ramadan ini kerana perkara yang baik tidak wajar dilengah-lengahkan.
Oleh itu, dia yang bergerak aktif selaku penceramah bebas dalam Pertubuhan Usrah Fitrah Malaysia (UF) bersama-sama dengan penasihat pertubuhan itu, Shaharuddin Dawam dan semua yang berada dalam kumpulan berkenaan sepakat menganjurkan HASA1.0.
“Tak kira apa juga rintangan, program ini mesti dilaksanakan. Tak kiralah berapa ramai artis dan selebriti dapat hadir, untuk melakukan sesuatu perkara mesti ada permulaannya. Saya gembira dalam masa singkat dan kerja keras semua orang, program ini berjaya diadakan dengan kehadiran lebih 70 selebriti tempatan.
“Program ini juga adalah serampang dua mata yang akan memberikan pendidikan kerohanian dan ruang kepada golongan sasaran agar dapat mengenali al-Quran dengan lebih dekat, sekali gus menjadikan kitab ini sebagai panduan hidup.
“HASA1.0 juga diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap keperibadian artis, sekali gus menjadikan mereka ‘role model’ terbaik bagi mendidik masyarakat khususnya belia,” katanya.
Serentak dengan penganjuran program itu juga, UF yang sudah lima tahun ditubuhkan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sementara itu Yatt Hamzah atau nama sebenarnya Haryati Hamzah berkata, sehingga kini hanya ada dua program yang mengangkat kehebatan al-Quran di negara ini iaitu Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Jadi, kita perlu mengadakan lebih banyak penganjuran program seumpamanya bagi menyedarkan masyarakat Islam terhadap kepentingan al-Quran. HASA1.0 adalah himpunan artis dan selebriti dalam satu program keagamaan. Sebelum ini mereka lebih banyak berkumpul di majlis anugerah dan acara glamor sahaja.
“HASA1.0 adalah percubaan pertama dan ia boleh dikatakan berjaya dengan kehadiran lebih 70 artis. Dalam senarai artis yang bersetuju untuk datang hampir 200, tetapi saya faham masing-masing ada pelbagai komitmen. Apapun saya terharu dengan maklum balas yang diterima.
"Menerusi program ini juga, masyarakat dapat melihat sisi positif artis yang kebanyakannya sudah berhijrah, berhijab dan jangan lagi berprasangka buruk terhadap mereka. Dengan perubahan yang berlaku ini juga diharap peminat dapat mencontohi kebaikan termasuk soal penampilan.
"Sebenarnya ramai artis yang mahu mendekati al-Quran dan agama, tetapi mungkin mereka berasa segan atau tiada tempat untuk dituju. Dengan adanya UF, kami semua dapat berkumpul dan berdiskusi hal agama,” katanya. Yatt yang kini hamil anak kedua turut berharap program itu dapat diadakan setiap kali tibanya Ramadan.
0 comments:
Post a Comment