Pemimpin autokratik, Rodrigo Duterte mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina semalam selepas berjanji akan menggunakan kekerasan untuk memerangi jenayah yang menjadi fokus utama sepanjang enam tahun penggal pemerintahannya.
Tidak seperti kelaziman pemimpin terdahulu yang mengadakan majlis besar-besaran, Duterte mengangkat sumpah jawatan tertinggi itu di hadapan sebilangan kecil tetamu di dalam Istana Malacanang, Manila.
“Tiada pemimpin yang berjaya melaksanakan agenda nasional melainkan beliau mendapat sokongan padu dan kerjasama rakyat,” kata Duterte selepas mengangkat sumpah.
Beliau sebelum ini berjanji akan memperkenalkan semula hukuman mati, mengarahkan polis menembak mati suspek penjenayah dan menawarkan ganjaran kepada anggota polis yang membunuh ketua pengedar dadah.
Duterte, 71, turut membenarkan rakyat biasa untuk membunuh suspek jenayah. Pemimpin yang merupakan bekas peguam dan datuk bandar Davao itu berkata, tumpuan lain dalam pemerintahannya termasuk melaksanakan perintah berkurung waktu malam terhadap kanak-kanak dan larangan penjualan arak selepas tengah malam. Filipina mempunyai seramai 100 juta penduduk.
0 comments:
Post a Comment