My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 6 April 2017

    Cheng Hoe Bukan Pilihan Gomez


    DRAMA baharu dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin menarik. Selepas Mario Gomez menafikan bahawa beliau menuntut gaji lebih untuk memegang jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya, kini timbul pula episod baharu berkenaan pelantikan penolong jurulatih. 

    Sebelum ini, jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dikatakan menjadi pilihan Gomez untuk menjadi pembantunya mengendalikan skuad kebangsaan. Begitupun, Gomez, 60, mendedahkan semalam bahawa beliau tidak pernah memilih Cheng Hoe sebagai pembantunya sekiranya dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya.

    “Saya tidak pernah memilih Cheng Hoe. Saya juga tidak tahu dari mana cerita seperti ini timbul. Saya menghormati Cheng Hoe dan tidak berniat untuk mengganggu tugasnya sebagai pengendali pasukan Kedah yang kini sedang berada di puncak prestasi pada kempen Liga Super.

    “Kalau saya diberi pilihan, sudah tentu saya memilih pembantu jurulatih daripada pasukan Harimau Selatan, Raul Longhi. Begitupun, saya tidak kisah jika digandingkan dengan Cheng Hoe kerana beliau antara jurulatih tempatan terbaik di negara ini,” jelas Gomez ketika dihubungi media semalam.
    Menurut Gomez, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahukan Cheng Hoe menjadi pembantunya mengendalikan pasukan kebangsaan. “Saya boleh berganding dengan sesiapa sahaja dan saya bersedia menerima mana-mana calon yang difikirkan sesuai,” ujarnya lagi.

    Media sebelum ini melaporkan, Tunku Ismail tidak memaksa Cheng Hoe untuk menjadi pembantu Gomez, sebaliknya memberi kebebasan kepada pengendali berasal dari Argentina itu untuk membuat pilihan.

    Masa depan Cheng Hoe, 49, menjadi tanda tanya apabila spekulasi mengaitkan beliau dengan skuad Harimau Malaya terus bertiup kencang, lebih-lebih lagi selepas jurulatih Helang Merah itu menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah minggu lalu.

    Malah, Cheng Hoe mengakui secara terbuka bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Tunku Ismail dan Gomez bagi mengendalikan Harimau Malaya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Cheng Hoe Bukan Pilihan Gomez Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top