"Saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak. Saya merayu beliau, penonton dan rakan-rakan memaafkan saya." Itu kata-kata pengacara popular Singapura Najip Ali menerusi kenyataan yang dikeluarkan stesen televisyen Singapura, Mediacorp Channel 5 menerusi laman web rasmi mereka hari ini.
Najip mengakui tindakannya yang didakwa mempersenda Perdana Menteri adalah tidak sensitif. "Sejak beberapa hari lalu saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya komen yang dibuat semasa segmen dalam rancangan komedi Channel 5 yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia. "Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan tidak berhati perut," katanya.
Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp, Debra Soon berkata pihaknya sudah menarik balik siaran ulangan episod program itu berkuat kuasa serta-merta. "Channel 5 dan pasukan produksi di sebalik OK Chope! dengan ikhlas memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak atas satu segmen pada episod minggu lalu.
"OK Chope! adalah program mingguan yang ditayangkan secara langsung menampilkan pelawak yang memberikan pandangan lucu mengenai berita dan hal ehwal semasa.
"Episod minggu lalu termasuk komen-komen yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai tidak berhemah dan menyakitkan hati. Oleh itu, kami menarik balik siaran ulangannya berkuat kuasa serta-merta. Kami memohon maaf atas kesilapan ini," katanya.
Rabu lalu, Mediacorp Channel 5 menyiarkan satu episod rancangan komedi OK Chope! yang turut menampilkan segmen berkenaan Perdana Menteri.
OK Chope! yang dihoskan Vernetta Lopez menampilkan ahli panel Najip Ali, Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See yang cuba untuk 'chope' ke atas satu sama lain bagi memberikan pandangan mereka mengenai kejadian terbaru di media sosial, berita dan budaya pop.
Dalam perkembangan yang berasingan, juri tetap program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, Najip Ali bakal digantikan berikutan dakwaan mengenai tindakannya dikatakan mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program TV di Singapura, baru-baru ini.
Menurut sumber, pengganti Najip yang juga pengacara popular dari Singapura itu bakal diketahui Jumaat ini menerusi siaran langsung MLM bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna. Difahamkan, tempat Najip bakal digantikan dengan seorang lagi bekas pengkritik program realiti lawak popular itu.
Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai perkara itu. "Buat masa sekarang pihak kami tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara ini," katanya ringkas.
0 comments:
Post a Comment