Jumlah ini mungkin kecil jika dibandingkan dengan populasi penduduk Malaysia. Bagaimanapun, rekod juga menunjukkan bahawa 22,581 kes muflis melibatkan individu berusia sekitar 25 hingga 34 tahun. Ini bermaksud, mereka yang muflis itu rata-ratanya adalah generasi muda.
Mereka mungkin baru beberapa tahun bekerja atau lepasan universiti yang masih belum lagi stabil dalam dunia pekerjaan. Walaupun banyak faktor yang memungkinkan seseorang itu menjadi muflis, antara sebab yang selalu dilaporkan ialah penggunaan kad kredit tanpa kawalan. Dalam psikologi, manusia ini secara umumnya dikatakan mempunyai ilusi kawalan.
Dalam erti kata lain, kita mempercayai bahawa seseorang itu mampu mengawal sesuatu di luar kawalan. Dalam kajian yang dilakukan terhadap pemain mesin permainan menunjukkan bahawa kelompok yang pernah memperoleh kemenangan sebelum itu percaya bahawa mereka akan memenanginya lagi.
Mereka juga percaya mempunyai bakat luar biasa yang tidak dimiliki oleh orang lain dan yakin mampu mengawal persekitaran. Kajian mendapati bahawa pemain ini akan terus mengeluarkan wang simpanan mereka bagi meneruskan permainan.
Kad kredit
Ini kerana mereka percaya mampu memenangi permainan tadi dan akan mendapat lebih banyak keuntungan berbanding dengan peluang untuk kalah. Hal yang sama mungkin berlaku terhadap pengguna kad kredit. Penggunaan kad kredit memudahkan proses membeli-belah.
Kejayaan melakukan pembayaran semula hutang kad kredit sebelum itu menyebabkan kita percaya mampu berbelanja lebih pada waktu sekarang. Hakikatnya, ia sekadar ilusi kawalan. Kita menjangkakan mampu mengawal sesuatu yang sebenarnya di luar kawalan. Dalam banyak kes, ilusi kawalan ini juga berkaitan dengan isu ganjaran dan hukuman ketika berbelanja.
Ganjaran dalam konteks ini ialah apabila seseorang itu berasakan dengan membeli barang yang dihajati, sekalipun harganya mahal, ia dianggap sebagai satu penghargaan kepada mereka. Ganjaran juga mungkin dilihat dalam bentuk yang lain. Misalnya, penggunaan kad kredit tadi dilihat membawa bersama status diri mereka.
Orang yang memiliki kad kredit merasakan, mereka seorang yang berstatus tinggi dan mampu untuk membeli apa sahaja. Sebaliknya, sekiranya mereka menetapkan kadar untuk berbelanja, ia akan menghalang keterujaan tadi.
Dalam konteks ini, secara psikologinya ia dianggap sebagai satu bentuk hukuman. Jika menggunakan kad kredit, adakalanya seseorang itu akan berbelanja lebih daripada had. Mereka berbelanja kerana ia melibatkan status diri yang dilihat sebagai ganjaran, sekalipun barang itu tidak diperlukan.
Menggunakan kad kredit juga menyebabkan seseorang itu merasakan bahawa mereka sebenarnya tidak mengeluarkan wang ketika membeli-belah. Secara psikologinya, manusia tidak merasakan mereka telah mengeluarkan wang atau kehilangan apa-apa ketika membeli.
Prinsip yang sama juga digunakan dalam banyak kasino atau tempat permainan keluarga apabila mereka menggunakan token berbanding wang tunai.
Implikasi
Walaupun pada asalnya token ini diperoleh menerusi menukarkan wang tunai, apabila berbelanja dengan menggunakan token, kita merasakan ia tidak bernilai. Hal sebaliknya, mungkin berlaku jika menggunakan wang sebenar.
Kita akan berasa sangat kehilangan apabila telah berbelanja. Sebenarnya, semua ini adalah elemen psikologi yang menjadikan kad kredit dilihat hanya sebagai kad plastik yang tidak mempunyai sebarang implikasi kehilangan wang. Manusia sanggup terus berbelanja apa sahaja. Mereka juga yakin mampu mengawal pembelian dan berupaya membayar hutang bagi perbelanjaan yang telah dibuat.
Akhirnya, dengan ilusi kawalan dan sifat kad kredit yang dilihat sebagai wang palsu, ia menjadikan ramai manusia menderita pada akhirnya. Kad kredit tidak hanya bersifat wang tetapi ia adalah godaan psikologi yang boleh menyebabkan seseorang itu terlupa siapa diri mereka yang sebenarnya.
0 comments:
Post a Comment