My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 13 July 2016

    Dakwaan Konon Hampir 600 Ahli Keluar Umno Dibidas




    UMNO Bahagian Batu Sapi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi Pg Roslan Pg Nasrun yang mengatakan hampir 600 ahli UMNO dari 100 cawangan telah keluar parti. 

    Jurucakap bahagian itu yang juga Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan memberitahu pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi bersama-sama ahli jawatankuasa serta ketua-ketua cawangan membidas kenyataan itu. “Perkara ini adalah satu gimik murahan ataupun politik murahan yang cuba diraih untuk memastikan kestabilan politik UMNO di Batu Sapi ini tergugat. 

    “Dengan adanya ketiga-tiga sayap pada pagi ini (kelmarin) serta ketua-ketua cawangan, membuktikan bahawa UMNO Bahagian Batu Sapi masih lagi utuh, tidak ada sebarang masalah dan sememangnya perjuangan UMNO akan diteruskan sampai bila-bila di Parlimen Batu Sapi,” katanya pada sidang media bagi mengulas kenyataan terbabit yang dihadiri ketiga-tiga sayap UMNO Bahagian Batu Sapi, di sini kelmarin.

    Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Rahimah Asrah, Ketua Puteri Bahagian Hazulizah Md Dani dan jawatankuasa bahagian. Khairul berkata, pihaknya dapat melihat kehadiran pada program ataupun perhimpunan yang diadakan oleh Roslan bukanlah 100 peratus ahli UMNO.

    “Ada juga ahli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), ada juga ahli dari PBS, SAPP dan juga kebanyakan mereka mewakili parti-parti pembangkang turut serta dalam himpunan yang dilakukan oleh Roslan,” katanya.

    Katanya, tidak dinafikan sememangnya ada beberapa cawangan ataupun beberapa ahli UMNO Bahagian Batu Sapi telah keluar ataupun mengisytihar tidak lagi bersama dengan UMNO, tetapi impak ataupun kesannya tidak boleh dinilai lagi.

    “Penilaian hanya boleh dibuat sewaktu pilihan raya akan datang. Tetapi kami di sini boleh memberi jaminan bahawa parti UMNO tidak akan hilang begitu sahaja.

    “Perjuangan UMNO akan diteruskan oleh kami yang hadir pada pagi ini dan kami yakin rakyat di Parlimen Batu Sapi ini tidaklah begitu mudah diperbodohkan, bukan begitu mudah untuk diperkotak-katikkan, dan kami percaya 100 peratus bahawa pada pilihan raya akan datang parti UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) akan sentiasa menjadi pilihan penduduk Parlimen Batu Sapi,” katanya.

    Tegasnya UMNO tidak tergugat dengan keputusan berkenaan. Pada dasarnya, “Kita dapat lihat dengan berkumpulnya ketua-ketua cawangan pada pagi ini, serta ketiga-tiga sayap, ia adalah satu cabaran sahaja, bukannya sebagai satu halangan untuk kita berjuang.”

    “Hanya satu cabaran… insyaAllah saya yakin ini akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih utuh, dan yang paling penting ini akan memperkuatkan perpaduan kita dalam UMNO Bahagian Batu Sapi,” katanya.

    Jelasnya, ahli UMNO di Batu Sapi adalah sebanyak 23,000 orang dan yang menjadi pengundi ataupun mengundi di Parlimen Batu Sapi adalah seramai 16,000. “Jadi kita dapat lihat tidak ada sebarang signifikan yang besar ataupun yang perlu digembar-gemburkan tentang perkara atau pun program yang diadakan kelmarin (Ahad),” katanya.

    Malah, Khairul berkata UMNO Bahagian Batu Sapi sentiasa memberi sokongan penuh kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman. Pada Ahad, Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi Pg Roslan Pg Nasrun bersama 600 ahli dari 100 cawangan UMNO bahagian itu mengisytiharkan keluar parti. 

    Pengumuman keluar parti itu disertai oleh seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Batu Sapi dan 27 ketua cawangan Umno yang turut keluar bersama pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini. Roslan memberitahu mereka keluar UMNO kerana tidak setuju dengan tindakan Majlis Tertinggi UMNO menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO, tanpa dipanggil untuk membela diri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dakwaan Konon Hampir 600 Ahli Keluar Umno Dibidas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top