BNM berkata, pelarasan terhadap OPR bertujuan memastikan tahap akomodatif monetari kekal konsisten dengan pendirian dasar bagi memastikan ekonomi terus berada pada kadar pertumbuhan mampan dalam keadaan inflasi stabil, disokong pengantaraan kewangan yang kukuh.
Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus mencatat kadar pertumbuhan yang lebih sederhana, merentas ekonomi maju utama dan sedang pesat membangun. “Bagi rantau Asia, kelemahan sektor luaran yang berterusan memberi kesan kepada pertumbuhan, meskipun permintaan dalam negeri kekal menyokong pertumbuhan ekonomi meskipun wujud tanda-tanda kadar sederhana ekonomi.
“Selain itu, prospek pertumbuhan global terdedah kepada risiko pertumbuhan lebih rendah berikutan kesan daripada referendum Kesatuan Eropah (EU) di United Kingdom serta pasaran kewangan antarabangsa turut terdedah kepada turun naik yang lebih ketara pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Bagi Malaysia, permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu pertumbuhan utama dan penggunaan swasta akan disokong pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga serta langkah yang dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun pelaburan dalam sektor minyak dan gas semakin sederhana, pelaburan keseluruhan dijangka bersandarkan pelaksanaan projek infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, BNM berkata, inflasi diunjurkan lebih rendah pada dua hingga tiga peratus tahun ini berbanding unjuran awal antara 2.5 hingga 3.5 peratus, manakala 2017 ia dijangka akan terus kekal stabil.
0 comments:
Post a Comment