My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 12 July 2016

    Tumpu Aspek Kemudahan Awam


    Usaha untuk mentransformasikan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar dapat direalisasikan sekiranya kemudahan seperti jaringan pengangkutan awam serta rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan menengah dapat disediakan. 

    Ketua Pegawai Eksekutif Invest KL Corporation (Invest KL), Datuk Zainal Amanshah berkata, untuk mewujudkan sebuah bandar pintar, ia bukan sekadar menumpukan kepada penerapan unsur teknologi terkini sahaja tetapi ia merangkumi aspek kemudahan asas. Menurutnya, kemajuan yang dicapai itu seharusnya perlu dinikmati semua golongan masyarakat termasuklah mereka yang berpendapatan rendah dan menengah.

    “Kita melihat ketika ini, tidak semua golongan berupaya membeli hartanah di Kuala Lumpur, namun dengan membangunkan jaringan pengangkutan awam seperti aliran transit massa (MRT) dan aliran transit ringan (LRT) dengan cekap, ia sudah tentu akan memberikan keselesaan.

    “Jadi, transformasi bandar pintar tidak tertumpu semata-mata hanya kepada penggunaan teknologi tinggi dan terkini, tetapi ia sebenarnya adalah keseimbangan kepuasan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

    Invest KL adalah entiti yang diperkenalkan kerajaan bagi mengubah Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden dan berkembang pesat menjelang 2020. Sementara itu, Zainal berkata, projek MRT dan LRT perlu diberi penekanan untuk melicinkan lagi usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar moden dan pilihan pelabur.

    “Kesesakan jalan raya dan keselamatan juga menjadi keutamaan. Banyak perkara perlu dilakukan, namun aspek inklusif perlu diberi perhatian bagi membolehkan semua peringkat menikmati pembangunan Kuala Lumpur dan menjadikan bandar raya ini mempunyai sambutan yang baik,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor swasta juga perlu menerajui usaha ke arah menjadi bandar pintar seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang melaksanakan pelbagai dasar dan polisi. 

    “Kebiasaannya ialah, kerajaan dijangka menerajui dalam segala-galanya. Kerajaan boleh memudah dan menyediakan perkhidmatan infrastruktur asas dan membolehkan perkongsian awam-swasta untuk kemudian mengambil kesempatan serta mewujudkan nilai.

    “Dalam bergerak ke arah membina bandar pintar, kita juga perlu mengambil kira pertumbuhan dan keterangkuman. Apabila anda berkembang, anda akan mendapati bahagian atas segi tiga boleh menikmatinya, tetapi 40 peratus yang berada di bawah tidak boleh dan ia mesti ditangani,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tumpu Aspek Kemudahan Awam Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top