Polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan pembuat wang palsu yang aktif di bandar raya ini dengan penahanan empat suspek termasuk seorang wanita, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, empat suspek berusia antara 16 hingga 33 tahun yang ditahan pada 24 Mac hingga 29 Mac lalu, direman hingga esok dan Rabu.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan dikenal pasti menggunakan wang palsu itu untuk kegunaan sendiri ketika berbelanja di kedai runcit, selain berhibur di kelab malam.
Berikutan penahanan empat suspek itu, polis berjaya merampas 38 keping wang kertas RM100 palsu serta pelbagai peralatan untuk memproses wang palsu itu, antaranya mesin pencetak, pengimbas dan kertas bersaiz A4," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Mustafa berkata, antara yang ditahan termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikenal pasti pakar membuat wang palsu. Beliau berkata, kegiatan remaja itu terbongkar selepas kakaknya menemui peralatan dan wang kertas palsu itu di dalam bilik tidurnya.
"Seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang ditahan pula baru dibebaskan dari penjara Disember lalu kerana melakukan kesalahan sama sebelum ini," katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 489 B dan Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan beberapa individu lain yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu.
0 comments:
Post a Comment