Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak pemimpin PKR Cawangan Miri, Bill Kayong berjaya diberkas polis petang kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata tangkapan ke atas suspek dibuat sekitar jam 6 petang, pada 10 Julai lalu hasil serbuan polis ke sebuah restoran terletak di Jalan Bendahara di sini.
Berikutan itu, lelaki berusia 27 tahun itu yang merupakan suspek kesembilan dalam kes ini dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut. “Suspek ditahan untuk disoal siasat berhubung kes bunuh ini dan beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
“Setakat ini, seramai lapan orang suspek masih dalam tahanan polis termasuk suspek terbaharu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Dev, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan hasil siasatan dijangka dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini. Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu, Bill Kayong, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.
Kejadian berlaku ketika mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini. Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin ke tempat kerja terletak di pusat bandar.
0 comments:
Post a Comment