Penduduk minoriti Islam Rohingya di Myanmar dipercayai menjadi mangsa jenayah kemanusiaan, kata agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin ketika bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan (gambar kecil)tiba di Myanmar untuk melawat sendiri situasi di utara Rakhine.
Dakwaan tersebut dibuat agensi berkenaan, OHCHR kelmarin sekali gus mengulangi keputusan laporan berkaitannya pada Jun lalu.
“Kerajaan (Myanmar) gagal bertindak berdasarkan saranan yang terkandung dalam laporan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sekali gus meningkatkan kemungkinan bahawa corak keganasan terhadap etnik Rohingya menyamai jenayah kemanusiaan,” kata OHCHR dalam kenyataannya.
Ketika krisis etnik Rohingya kian memuncak, Annan membuat lawatan selama seminggu ke Myanmar bermula kelmarin termasuk kunjungan ke Negeri Rakhine. Beliau memandangkan serius keganasan di Rakhine yang mendorong beribu-ribu orang Islam keluar menunjuk perasaan di jalan-jalan raya di seluruh Asia.
Demonstrasi itu bagi membantah kekejaman operasi tentera Myanmar di Rakhine. Pada bulan ini sahaja, beribu-ribu penduduk Rohingya menyeberangi sempadan untuk masuk ke Bangladesh. Mereka mendakwa penduduk Rohingya telah diseksa dan dibunuh oleh pasukan keselamatan, manakala kaum wanitanya dirogol.
Setakat ini, seramai 30,000 penduduk Rohingya menjadi pelarian dengan imej satelit menunjukkan beratus-ratus perkampungan mereka telah dibakar. Myanmar bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa tenteranya memburu kumpulan pengganas yang melancarkan serangan ke atas beberapa pos kawalan polis pada bulan lepas.
0 comments:
Post a Comment