Penghulu Balai Gara, ketua masyarakat di kawasan Selangau memberitahu bahawa warga asing menggunakan taktik mengaku anak penduduk tempatan untuk memohon kerakyatan Malaysia. Katanya kes itu berlaku di kawasan beliau dengan warga asing mendakwa dirinya anak kepada warga tempatan untuk permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Lelaki warga tempatan ini adalah seorang warga emas dan penduduk di sini mengenalinya hanya mempunyai seorang anak. Bagaimanapun, warga asing itu menghantar borang permohonan menyatakan beliau adalah anak lelaki kepada warga tempatan itu.
“Saya membuat pemeriksaan dan mendapati individu tersebut bukan anak kepada warga tempatan sebaliknya dia adalah warga asing. “Taktik anak angkat atau ‘ngambu’ digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa mendapatkan dokumentasi yang sah,” katanya ditemui pada Program Pendaftaran Lewat Sijil Lahir dan Kad Pengenalan di Dewan Serba Guna Selangau, semalam.
Ujarnya, permohonan tersebut dibatalkan selepas beliau memaklumkan perkara sebenar kepada JPN. Sebagai ketua masyarakat, Balai diberikan kuasa melakukan pemerikaan permohonan sijil lahir atau kad pengenalan di kawasan beliau sebelum diserahkan kepada JPN.
“Kami melakukan pemerikasaan ketat ke atas dokumen yang diserahkan kepada kami terutama melibatkan pendaftaran lewat sijil lahir dan permohonan kad pengenalan. Ini kerana JPN tidak boleh disalahkan apabila sesetengah permohonan ditolak kerana wujudnya permohonan palsu,” katanya.
Balai menasihati ibu bapa agar mendaftar kelahiran anak dalam tempoh 42 hari selepas dilahirkan dan tidak menangguhkan permohonan MyKad apabila anak mencapai usia 12 tahun. Bagi pasangan berkahwin menggunakan adat Iban, Balai berkata mereka perlu mendaftar perkahwinan dan sebaiknya sebelum mereka mempunyai anak.
Sementara itu, Penghulu Thomas Jawa berkata kes pendaftaran lewat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berlaku di kawasan Pelugau. Katanya, bapa budak itu seorang lelaki warga tempatan manakala ibunya rakyat Indonesia.
“Ibu budak itu telah meninggalkan suaminya ketika dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, tidak pasti sama ada budak itu dilahirkan di rumah panjang, klinik atau hospital.
“Kebanyakan kes lelaki warga tempatan berkahwin dengan wanita warga asing dan wanita tersebut akan melahirkan anak mereka di rumah untuk mengelak kos hospital mahal. Ini juga alasan lain sebab pendaftaran lewat sijil lahir,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment