Pembantaian tentera Myanmar terhadap penduduk etnik Rohingya yang berlaku di Rakhine sejak beberapa bulan lalu, pantas menarik perhatian beberapa orang perwakilan yang berucap di Perhimpunan Agung UMNO sejak hari pertama perbahasan di PWTC kali ini.
Ada perwakilan yang mahu Malaysia mengkaji semula hubungan diplomatik dua halan antara Putrajaya dan Yangon, ada yang mahu Malaysia memainkan peranan yang lebih besar di peringkat antarabangsa kerana Malaysia kini adalah pengerusi ASEAN dan ada juga yang mahu kerajaan mengusir duta Myanmar atas kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya.
Walaupun Perhimpunan Agung UMNO ini lebih kepada memperkatakan hala tuju parti seperti persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14, namun isu-isu antarabangsa seperti pembataian etnik ini juga turut diberi perhatian oleh perwakilan.
Malah, pada Ahad ini bakal diadakan buat julung-julung kalinya, Himpunan Solidariti Rohingya bakal diadakan di Taman Tasik Titiwangsa yang bakal menghimpunkan ribuan umat Islam yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan idealogi politik sebagai tanda menunjukkan solidariti terhadap nasib yang menimpa umat Islam Rohingya.
Himpunan yang dijadualkan pada jam 8 pagi ini turut bakal dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa orang pemimpin utama PAS yang lain. Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan beberapa orang pemimpin utama UMNO.
Tidak ketinggalan, beberapa karikatur dan lukisan turut dipamerkan sepanjang PAU 2016 ini bagi mengenang dan memberi kesedaran terhadap apa yang berlaku pada etnik Rohingya ini. Malah, tabung-tabung derma juga turut diadakan bagi memungut seberapa banyak sumbangan yang boleh untuk disalurkan kepada etnik Rohingya.
UMNO bukan sekadar memperjuangkan nasib bangsa Melayu semata-mata. Bersesuaian dengan prinsip perjuangan agama, bangsa dan tanahair, apa yang menimpa saudara seagama di Rohingya juga turut diberikan perhatian yang khusus supaya seluruh umat Islam di negara ini sedar, masih ada lagi saudara segama sedang berhadapan dengan nasib yang cukup buruk di tanahair sendiri.
0 comments:
Post a Comment